Aguero hargai ‘pemberian’, jalani tugas sebagai rakyat Malaysia turun mengundi
Kehadiran pemain naturalisasi Sri Pahang FC, Sergio Aguero mencuri tumpuan orang ramai sepanjang proses pengundian Pilihan Raya ke-15 yang berlangsung semalam (19 November).
Aguero dilihat sewaktu beliau hadir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Semambu bagi mengundi di kerusi Parlimen Indera Mahkota serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu.
Pemain berusia 28 tahun tersebut juga memberitahu bahawa ini tidak akan menjadi kali pertama dan terakhir buat beliau untuk turun mengundi bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia yang sah.
Aguero telah sah memiliki status warganegara Malaysia selepas permohonan naturalisasi beliau diluluskan secara rasmi pada 16 September yang lalu.
Ini adalah contoh terbaik yang dapat menjadi teladan kepada pemain naturalisasi yang lain tatkala mereka sewajarnya menjalankan tugas sebagai rakyat Malaysia bukan sahaja di atas padang malah dalam menunaikan kewajipan seperti mengundi.
Banyak pihak sebelum ini khuatir jika pemain-pemain ini sekadar mengambil kesempatan untuk kekal lama di Malaysia dan mendapat tempat di dalam skuad kebangsaan tanpa menjalankan tanggungjawab sewajarnya.
Apa yang dilakukan oleh pemain berasal dari Argentina tersebut perlu dicontohi oleh pemain-pemain lain serta masyarakat tempatan yang tidak turun menjalankan tugas untuk mengundi.
Pada masa yang sama, diharap agar pemain naturalisasi yang lain turut sama-sama seperti Aguero meskipun hanya gambarnya sahaja yang tular.
Harapnya naturalisasi dari Johor Darul Ta’zim FC, Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh serta Lee Tuck turut turun mengundi di tempat masing-masing sebagaimana yang dilakukan oleh Aguero.
Rasanya pemain naturalisasi negara yang ketika ini beraksi di Liga Thailand, Liridon Krasniqi turut kembali ke Malaysia untuk mengundi namun tiada kepastian dapat dibuat ekoran daripada ketiadaan gambar atau sebarang bukti visual.
Ini adalah salah sebuah tanda mereka menghargai peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan selain daripada menghafal lagu kebangsaan ‘Negaraku’ sepertimana yang diperbincangkan sebelum ini.
Pada masa yang sama, Aguero seakan memberi petanda bahawa beliau akan kekal lebih lama bersama pasukan Sri Pahang.
Beliau dan keluarga berasa sangat selesa tinggal di Kuantan serta menghargai segala layanan baik yang diterima oleh mereka daripada pihak pengurusan serta peminat.