Harimau Malaya bakal jadi ‘pemanas badan’ Hong Kong sebelum ke Piala Asia
Pasukan bola sepak Hong Kong dilihat telah mula merangka perancangan mereka bagi melakukan persiapan untuk menghadapi saingan Piala Asia tahun hadapan.
Apa yang menarik adalah pemilihan pasukan Harimau Malaya sebagai salah sebuah lawan mereka pada aksi persahabatan sepanjang tahun hadapan.
Menurut sumber, Hong Kong telah memilih Malaysia sebagai salah satu lawan yang akan ditemui oleh mereka pada aksi persahabatan yang dijangka berlangsung pada Mac tahun hadapan.
Perlawanan pemanas badan ini dilihat bakal diadakan di salah sebuah gelanggang keramat skuad Hong Kong, So Kon Po.
Ini termasuk di dalam perancangan mereka untuk mengadakan sekurang-kurangnya tujuh aksi persahabatan bagi mempersiapkan kesemua pemain sebelum mengharungi saingan berprestij di Asia tersebut.
Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, ia dapat dilihat sebagai sebuah peluang yang baik kepada skuad kebangsaan bagi memastikan pemain yang bakal dibawa ke Piala Asia tahun hadapan berkualiti dan mampu menggalas tanggungjawab di kejohanan tersebut.
Hal ini adalah kerana pasukan Hong Kong bukanlah sekadar lawan biasa serta memiliki barisan pemain yang hebat dan mempunyai kemahiran individu yang sangat baik.
Tambahan pula, mereka juga memiliki beberapa pemain naturalisasi yang baru sahaja dipanggil oleh ketua jurulatih, Jorn Andersen untuk menyertai pasukan kebangsaan tersebut sebelum ini,
Antara yang dipanggil adalah pemain kelahiran Jepun, Yuto Nakamura yang kini beraksi selaku penyerang buat pasukan Lee Man.
Nakamura telah dipanggil untuk menyertai kem latihan Hong Kong pada Julai tahun ini dan berjaya mengumpul satu kap setakat ini.
Selain pemain berusia 35 tahun tersebut, mereka memiliki beberapa lagi pemain naturalisasi dan kacukan seperti James Ha, Wellingsson dan Matt Orr.
Kehadiran pemain-pemain seperti ini di barisan serangan pasukan Hong Kong akan membantu pertahanan negara untuk lebih bersedia dalam menghadapi saingan yang jauh lebih besar dan mencabar.
Dengan momentum sedia ada yang dimiliki oleh skuad negara, tidak mustahil untuk kita melihat pasukan lawan ini dapat ditewaskan.
Lebih-lebih lagi, perkara tersebut telah berlaku sebelum ini dalam pertemuan terakhir pada bulan Jun yang lalu.
Perlawanan terakhir di antara Malaysia dan Hong Kong telah berakhir dengan keputusan memihak kepada pasukan kebangsaan menerusi keputusan 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid dan Safiq Rahim.
Aksi terakhir Hong Kong adalah menentang pasukan Myanmar sebanyak dua kali pada 21 dan 24 September tahun ini yang berakhir dengan satu kemenangan dan satu seri.
Kemenangan sekali lagi ke atas Hong Kong akan membantu pasukan negara untuk terus meraih mata dan memperbaiki kedudukan di ranking dunia dan Asia.
Buat masa ini, Malaysia dan Hong Kong hanya dipisahkan oleh dua anak tangga dengan pungutan mata yang hanya dibezakan oleh 3.56 mata sahaja.
Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada kenyataan rasmi dari pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahupun Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA) berkenaan perkara ini.
Skuad negara akan menghadapi dua perlawanan persahabatan Tier 1 bertamu Kemboja pada 9 Disember dan Maldives pada 14 Disember sebagai persiapan sebelum melangkah ke saingan Piala AFF tahun ini.
Sama seperti Malaysia, Hong Kong telah menanti sekian lama untuk sekali lagi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia.
Kali terakhir mereka melakukan sedemikian adalah 54 tahun lalu sewaktu Iran mengajurkan Piala Asia pada tahun 1968.