Kim Swee ucap terima kasih kepada TMJ atas jasa pinjamkan dua pemain walaupun terikat dengan ‘Gentlemen Agreement’
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menghargai kesudian pemilik kelab Johor Darul Ta’zim FC, Tunku Mahkota Johor (TMJ) atas kesudiannya meminjamkan dua pemain.
Seperti yang semua sedia maklum, pemain tersebut adalah Irfan Fazail serta Stuart Wilkins yang telah menjadi pemain utama skuad Sabah sepanjang musim 2022.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor kerana membenarkan dua pemain ini bersama Sabah walaupun tidak dapat bermain menentang JDT,”
katanya kepada media.
Kedua-dua pemain ini tidak dapat diturunkan ekoran daripada perjanjian yang telah dilakukan di antara pasukan JDT dan kelab yang meminjam pemain mereka.
Perjanjian tersebut tidak membenarkan mana-mana pemain yang dipinjamkan untuk bermain dalam perlawanan melibatkan JDT sepertimana yang turut berlaku untuk pasukan Melaka United sebelum ini.
Kim Swee berharap agar beliau dapat terus mengekalkan khidmat pemain-pemain tersebut untuk jangka masa yang lebih panjang.
“Saya harap dengan perbincangan kita dengan JDT untuk membawa kedua-dua pemain ini di dalam senarai pemain musim depan dapat dilaksanakan.
Mereka dapat minit permainan yang baik terutamanya Stuart yang menunjukkan prestasi baik sepanjang musim.”
Pada masa yang sama, Kim Swee turut mengakui ketiadaan pemain utama menjadi salah satu faktor utama kekalahan pasukan Sabah pada perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia 2022.
Beliau juga melihat aksi yang berlangsung di hadapan ribuan penyokong Harimau Selatan juga menyebabkan pemain sedikit kehilangan fokus dan terlihat gugup di atas padang.
“Sudah tentu kita berhadapan dengan kesukaran tanpa beberapa pemain kita kerana kecederaan dan kita hadir hari ini dengan hanya 16 pemain.
Semua pemain berjaya tunjukkan komitmen yang sangat tinggi dan ini penting untuk kita lalui pada masa akan datang.”
Dalam pada itu, Kim Swee juga berkongsi beberapa perkembangan pasukan yang bakal dilakukan sebelum musim hadapan bermula.
Termasuk dalam mendapatkan beberapa pemain sasaran seperti penyerang PJ City FC, Darren Lok yang bakal memperkuatkan pasukan musim depan.
“Masih lagi terlalu awal untuk saya umumkan, Darren Lok sudah tentu menjadi sasaran kita tetapi kita masih berbincang dengan beberapa pemain yang lain untuk memastikan kita dapat membawa mereka dengan satu syarat kerana kita bukan satu kelab yang mewah dari segi kewangan.”
Jurulatih berusia 51 tahun itu juga bergembira dengan pemain-pemain yang dimiliki beliau terutamanya di bahagian penjaga gawang pasukan.
Kehadiran Khairul Fahmi serta Damien Lim bagi mengisi posisi tersebut bakal memberi kebebasan dan peluang buat Kim Swee dalam melakukan beberapa pertukaran bagi menghadapi musim depan yang akan menjadi lebih panjang.
“Mempunyai dua penjaga gol yang berkaliber akan memberi satu daya saing yang begitu baik dalam pasukan dan ini terpulang kepada prestasi masing-masing.
Saya percaya juga kemungkinan akan ada penggiliran yang saya dapat lakukan pada musim depan.”