Kekalahan besar Iran kepada England jadi bukti terdapat jurang ketara antara pasukan Asia dan Eropah

400

Walaupun pelbagai usaha sedang dilakukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk meningkatkan kualiti bola sepak Asia, namun sehingga kini ia masih lagi jauh ketinggalan berbanding kualiti bola sepak di Eropah.

Biarpun tidak mempunyai perbezaan dari segi fizikal berikutan pemain dari Timur Tengah mempunyai fizikal yang seperti pemain Eropah, namun perbezaan dari segi kualiti permainan ternyata ketara.


Perkara ini dapat dilihat dalam perlawanan Piala Dunia membabitkan pasukan dalam Kumpulan B di antara gergasi Asia iaitu Iran tewas 6-2 kepada England.

England mempamerkan aksi yang cukup memukau sejak minit pertama dengan menguasai keseluruhan perlawanan.

Iran serba tak sejak awal perlawanan apabila terpaksa berdepan serangan demi serangan daripada pemain The Three Lions.

Ketika Iran sedang bertahan dengan baik, nasib malang mula menimpa mereka apabila penjaga gol utama Alireza Beiranvand terpaksa diusung keluar apabila mengalami kecederaan di bahagian hidung selepas bertembung dengan rakan sepasukan.

Sebaik sahaja permainan bersambung, anak buah Gareth Southgate terus melancarkan serangan dan mereka berjaya menjaringkan tiga gol di separuh masa pertama menerusi Jude Bellingham minit ke-35, Bukayo Saka minit ke-43 dan Raheem Sterling pada minit ke-46.

Masuk separuh masa kedua, England terus memberi tekanan dengan melakukan serangan dari sayap kiri dan kanan dan Saka sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila menjaringkan gol kedua dan gol keempat untuk pasukannya.

Iran cuba melakukan serangan dan akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-65 menerusi Mehdi Taremi.

Marcus Rashford yang baru dimasukkan telah meranapkan baki sisa harapan dengan jaringan gol pada minit ke-71, sebelum Jack Grealish menambah derita pasukan lawan menerusi gol keenam pada minit ke-89.

Biarpun ketinggalan dengan jaringan besar, namun semangat pemain Iran tidak pudar apabila mereka berjaya mendapatkan gol kedua mereka menerusi sepakan penalti pada minit ke-103 yang disempurnakan oleh Taremi.

Dengan kekalahan besar ini Iran berdepan tugas yang cukup sukar selepas ini apabila perlu berdepan Wales dan Amerika Syarikat selepas ini yang mana mereka perlukan kemenangan jika mahu mara ke peringkat seterusnya.

Sebelum perlawanan di antara kedua-dua pasukan ini, ramai peminat menjangkakan satu pertembungan sengit berikutan Iran sedang berada pada prestasi terbaik mereka, tambahan jurang ranking juga tidak jauh iaitu Iran di ranking ke-20, manakala England berada di ranking ke-5.

Ini adalah kekalahan kedua buat pasukan Asia apabila tuan rumah Qatar juga tewas 2-0 di tangan Ecuador pada perlawanan pembukaan semalam.

Ternyata visi AFC untuk menjadi konfederasi peneraju di dunia dan mahu melihat pasukan Asia berjaya di Piala Dunia masih lagi jauh untuk dicapai.

Mampukah Saudi Arabia, Korea Selatan, Jepun dan Australia menebus kekecewaan kem Asia nanti? Sama-sama kita tunggu.