Sikap pembersih penyokong Jepun kutip sampah di stadium wajib dicontohi penyokong Malaysia
Penyokong bola sepak Jepun sememangnya dikenali dengan sikap mereka yang berdisiplin dan mementingkan kebersihan.
Sejak dulu lagi, sudah banyak kali penyokong-penyokong Jepun dirakam mengutip sampah yang ditinggalkan di stadium termasuk oleh penyokong lawan.
Dalam Piala Dunia Qatar 2022 kali ini, sikap mementingkan kebersihan mereka sekali dipuji gara-gara mengutip sampah yang berteraburan di perlawanan yang tidak melibatkan pasukan Jepun.
Seorang influencer dari Bahrain melihat perkara itu di hadapan matanya sendiri ketika menghadiri perlawanan pembukaan antara Qatar dan Ecuador tempoh hari.
Sikap mementingkan kebersihan yang ditunjukkan oleh penyokong Jepun ini harus dijadikan contoh oleh penyokong di Malaysia yang sejak daripada dulu lagi tidak berdisiplin dalam isu kebersihan.
Setiap kali perlawanan terutama perlawanan yang besar, ada sahaja sampah yang dilihat berteraburan di dalam dan luar perkarangan stadium.
Musim ini juga sudah beberapa kali kecoh di media sosial mengenai sikap sebahagian penyokong yang meninggalkan sampah-sarap di stadium.
Sabtu ini, perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Diharapkan, penyokong yang hadir pada perlawanan itu boleh mencontohi sikap yang ditunjukkan penyokong Jepun dan bertanggungjawab terhadap sampah sarap di dalam serta di luar perkarangan stadium.
Pengurusan stadium juga diharap menyediakan tong sampah mencukupi untuk kemudahan penyokong membuang sampah di tempat sepatutnya.
Selain dari mahu melihat tahap bola sepak negara semakin maju, mentaliti penyokong juga harus seiring meningkat sama supaya bola sepak Malaysia dihormati dari segenap aspek.