Guillermo Ochoa terus pamer aksi cemerlang setiap kali beraksi di Piala Dunia

290

Penjaga gol utama Mexico, Guillermo Ochoa kini sekali lagi menjadi sebutan ramai apabila mempamerkan aksi yang cukup cemerlang termasuk berjaya menyelamatkan sepakan penalti daripada penyerang sensasi Robert Lewandowski sekaligus berjaya bantu pasukannya mengutip satu mata berharga.

Dalam perlawanan yang cukup mendebarkan dalam Kumpulan C Piala Dunia 2022 Qatar membabitkan Mexico dan Poland berkesudahan tanpa jaringan walaupun kedua-dua pasukan sentiasa melakukan serangan.


Man of the Match (MOTM) pada perlawanan awal pagi tadi sememangnya milik penjaga gol berusia 37 tahun itu yang sekali lagi memperlihatkan aksi yang cukup memukau dalam penampilan kelimanya dalam kejohanan berprestij itu.

Aksinya pada perlawanan tadi telah membuatkan ramai peminat kembali mengimbau persembahan cemerlangnya pada aksi Piala Dunia 2014 yang mana menyaksikan pada perlawanan kedua peringkat kumpulan ketika berdepan Brazil, beliau telah menyelamatkan enam situasi yang cukup berbahaya sekaligus mengikat tuan rumah tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan.

Antara situasi yang membuatkan Ochoa terkenal apabila beliau berjaya menyelamatkan tandukan yang cukup berkualiti daripada penyerang Neymar sekaligus menggagalkan cubaan Brazil untuk merobek gawangnya.

Walaupun Mexico hanya mampu mara sehingga ke peringkat 16 pasukan terbaik sebelum tersingkir, Ochoa telah menafikan 25 percubaan berbahaya dalam empat perlawanan dan menjadi penjaga gol kedua paling banyak menyelamatkan gawang dibelakang Thibaut Courtois yang menyelamatkan 27 percubaan dalam tujuh perlawanan.

Prestasi cemerlangnya pada tahun 2014 itu telah membuatkan kelab dari La Liga iaitu Malaga berminat dan menandatanganinya selama dua musim.

Bagaimanapun sepanjang tempoh tersebut beliau hanya membuat 11 penampilan sahaja dan ini merupakan jumlah penampilan tersikit buat dirinya kerana sebelum ke Sepanyol, beliau telah membuat sebanyak 239 penampilan ketika bersama kelab America di Liga Mexico.

Susulan kariernya seperti terbantut, beliau telah dipinjamkan ke Granada yang mana Ochoa kemudian telah membuat 38 penampilan semusim sebelum berhijrah ke Belgium untuk beraksi bersama kelab Standard Liege.

Selepas dua musim dengan 78 penampilan, beliau akhirnya kembali ke pangkuan bekas kelabnya America pada tahun 2019 dan masih lagi beraksi bersama kelab itu sehingga kini.

Antara perkara yang cukup menarik mengenai Ochoa ini adalah sepanjang kariernya, beliau tidak pernah beraksi dengan kelab gergasi tetapi sentiasa mempamerkan prestasi terbaik apabila menyarung jersi kebangsaan El Tri.

Piala Dunia 2022 mungkin akan menjadi Piala Dunia terakhirnya berikutan beliau kini sudah berusia 37 tahun, namun sekiranya beliau terus konsisten dan berjaya menarik perhatian ketua jurulatih tidak mustahil untuk beliau kembali membuat penampilan keenamnya di Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di USA, Mexico dan Kanada yang mana beliau akan berusia 41 tahun.

Mampukah Ochoa sekali lagi membantu pasukannya untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir seperti yang dilakukan pada tahun 1970 dan 1986? Atau beliau akan bantu pasukan untuk mara lebih jauh dalam kejohanan kali ini? Sama-sama kita tunggu.