Jordi Amat sudah bersedia, Indonesia bakal tampil lebih kuat pada Piala AFF kali ini

368

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah mengeluarkan senarai awal 28 pemain untuk persiapan bagi menghadapi Piala AFF bulan depan.

Antara nama yang menjadi perhatian adalah dua pemain naturalisasi baru, Sandy Walsh dan juga Jordi Amat.


Ini bermakna, Amat diberikan lampu hijau untuk menyertai kejohanan tersebut oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kedua-dua pemain itu baru sahaja selesai proses naturalisasi selepas mengangkat sumpah baru-baru ini.

Dalam senarai tersebut, terdapat lapan pemain yang bermain di luar negara, termasuk empat pemain yang bermain di Eropah iaitu Elkan Baggott, Egy Maulana, Witan Sulaeman dan Walsh.

Selain itu, dua lagi pemain beraksi dalam Liga Malaysia iaitu Saddil Ramdani dan Amat.

Walaupun ia bukan senarai akhir, barisan pemain yang berada dalam senarai dilihat lebih kuat dan mantap berbanding pemain yang dibawa pada edisi lalu.

Dengan pemain-pemain muda yang semakin matang dan lebih ramai pemain baru yang hebat menyertai pasukan, tidak dinafikan Indonesia merupakan antara pasukan pilihan pada edisi kali ini.

Pada edisi lalu, Indonesia kempunan untuk menjadi juara selepas tewas kepada Thailand pada perlawanan akhir.

Namun mereka dilihat mahu membalas dendam pada edisi kali ini dengan membariskan pemain-pemain terkuat yang ada.

Malah, ketua umum PSSI, Mochamad Iriawan juga optimis dengan barisan pemain tersebut dan yakin mampu menjadi juara buat kali pertama.

Malaysia yang diletakkan dalam kumpulan B pada Piala AFF kali ini mungkin berpeluang bertemu Indonesia pada separuh akhir atau akhir sekiranya kedua-dua pasukan layak.

Sudah tentu Indonesia kali ini tampil dengan kekuatan dan semangat berbeza dan sekali lagi mampu menjadi duri dalam daging seperti edisi lalu, apabila menyingkirkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe di peringkat kumpulan dengan kemenangan 4-1 pada perlawanan terakhir.

Ini pastinya satu cabaran buat ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon sekiranya bertemu dengan Indonesia pada edisi kali ini.