Kejayaan Zlatko Dalic bersama Croatia adalah bukti bola sepak Asia bukan ‘Cap Ayam’

542

Naib juara Piala Dunia 2018, Croatia baru sahaja menamatkan perlawanan Kumpulan F dalam kempen Piala Dunia 2022 Qatar menentang Morocco yang mana kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa kaitan ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic dan bola sepak Asia? Bagi yang tidak mengikuti rapat perkembangan bola sepak Asia terutamanya di Asia Barat, Dalic sebenarnya mula terkenal sejak mengendalikan pasukan di Asia Barat.


Ketika memulakan karier kejurulatihannya di Eropah seperti Varteks, Rijeka, Dinamo Tirana, Slaven Belupo, beliau bergelut untuk memperoleh keputusan positif dan tidak konsisten, namun mula memperlihatkan kehebatannya sejak menjejakkan kaki ke bumi Asia Barat pada 2010.

Dalic menyertai kelab Al-Faisaly sebagai ketua jurulatih untuk musim 2010-11 dan tidak menunggu lama untuk mencipta kejayaan apabila berjaya layak ke King’s Cup dalam Saudi Professional League, malah beliau juga dinobat sebagai Jurulatih Terbaik untuk musim tersebut oleh Saudi Professional League.

Pada musim 2012 beliau telah berhijrah ke Al-Hilal sebagai pengendali untuk skuad B, namun kemudian telah dinaikkan ke skuad utama selepas kelab memecat Antoine Kombouare. Sejak mengendalikan skuad utama Al-Hilal, beliau telah membawa kelab itu merangkul kejuaraan Saundi Crown Prince Cup sekaligus menjadi kejuaraan kedua dalam karier kejurulatihannya.

Selepas mencipta kejayaan di liga Arab Saudi, beliau berhijrah ke negara jiran UAE pula apabila dilantik sebagai ketua jurulatih untuk Al-Ain.

Dalic tidak menunggu lama untuk memperlihatkan kehebatannya apabila berjaya membawa pasukannya mengakhiri saingan kumpulan AFC Champions League (ACL) 2014 sebagai juara kumpulan pada musim pertamanya yang juga merupakan kali pertama kelab itu melepasi peringkat kumpulan sejak 2006.

Beliau berjaya membawa Al-Ain hingga ke perlawanan separuh akhir sebelum pasukannya tewas 4-2 kepada Al-Hilal yang merupakan bekas kelab yang dikendalikannya sebelum ini.

Dibawah kendalian Dalic, Al-Ain juga berjaya merangkul UAE President’s Cup menentang juara liga Al-Ahli, sekaligus merangkul trofi pertamanya sebagai pengendali Al-Ain.

Pelbagai lagi kejuaraan yang dikecapinya sepanjang tiga tahun beliau bersama Al-Ain termasuk memperlihatkan ranking kelab tersebut meningkat naik mendadak dari tangga 335 pada Mac 2014 kepada 122 di dunia pada tahun 2017.

Kejayaannya bersama kelab di Asia Barat telah membuatkan Konfederasi Bola Sepak Croatia mengambil keputusan untuk melantiknya sebagai ketua jurulatih baru selepas Ante Cacic dipecat susulan prestasi hambar pasukan kebangsaan Croatia.

Dalic yang merupakan bekas anak didik lagenda bola sepak Croatia iaitu Miroslav Blazevic berdepan tugas yang cukup sukar untuk menaikkan semula prestasi skuad yang diberi jolokan The Checkered Ones.

Antara tugas sukar yang terpaksa dihadapinya adalah untuk melakukan transisi pemain senior kepada pemain muda termasuk perlu menghadapi kelayakan Piala Dunia 2018.

Disebalik kesukaran dan pelbagai cabaran yang dihadapi, Dalic telah mencipta sejarah yang tiada sangka beliau mampu lakukan bersama Croatia apabila beliau berjaya membawa pasukan itu mara ke perlawanan akhir Piala Dunia, namun terpaksa akur apabila tumpas di tangan Perancis.

Kejayaan luar biasa Dalic telah menyaksikan beliau disanjung oleh peminat bola sepak negara itu dan beliau terus dikekalkan dan sekali lagi berjaya membawa Croatia layak ke Piala Dunia 2022.

Mampukah beliau sekali lagi membuat kejutan di Piala Dunia yang sedang berlangsung di Doha, Qatar? Sama-sama kita tunggu.

Sedikit latar belakang mengenai Dalic, jurulatih berusia 56 tahun itu dilahirkan di Livno yang mana sebahagian daripada SR Bosnia and Herzegovina, SRF Yugoslavia yang kini dikenali sebagai Bosnia and Herzegovina.

Walaupun datang dari keluarga Bosnia, beliau kini memegang kewarganegaraan Croatian.