Nippon Ole! Jepun menuju ke status elit dunia! Dulu belajar dari Malaysia, kini mengejutkan dunia!
Pasukan Jepun terus melakar kejayaan demi kejayaan dengan terbaru mereka baru sahaja menumbangkan gergasi Eropah, Jerman 2-1 dalam perlawanan Kumpulan E yang berlangsung dengan cukup dramatik sekali.
Kejayaan yang diperoleh oleh pasukan Jepun bukan datang dengan mudah kerana apa yang dikecapi oleh mereka adalah hasil kerja keras mereka sejak berpuluh tahun dan kini telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan.
Pada era 50an hingga 70an, Jepun adalah pasukan yang lemah dan sering menjadi belasahan pasukan dari rantau Asia termasuk Malaysia.
Bola sepak Malaysia ketika itu berada di puncak dan Jepun belajar dari Malaysia untuk memajukan sukan bola sepak di negara itu.
Namun kini, pasukan yang dikenali dengan jolokan Samurai Blue sedang menuju status pasukan bola sepak elit di dunia, manakala Malaysia pula jauh ketinggalan.
Revolusi bola sepak Jepun bermula pada tahun 1991 apabila pemilik Liga Bola Sepak Jepun semi-profesional bersetuju untuk membubarkan liga dan membuat penstrukturan liga kepada profesional dikenali sebagai J. League yang dilancarkan secara rasmi pada tahun 1993.
Sejak dari itu, bola sepak Jepun telah meningkat naik dari tahun ke tahun dan bukan sahaja kualiti liga domestik mereka sahaja naik tetapi juga pasukan kebangsaan mereka.
Dalam tempoh yang beberapa selepas membuat revolusi, Jepun akhirnya berjaya melangkah ke kejohanan bola sepak berprestij dunia iaitu Piala Dunia 1998.
Walaupun tewas kesemua perlawanan, namun aksi mereka di pentas Piala Dunia mendapat pujian apabila mereka hanya tewas dengan jumlah jaringan satu gol sahaja iaitu tewas 1-0 kepada Argentina dan Croatia, dan tumpas 2-1 di tangan Jamaica.
Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar ketika ini merupakan kempen Piala Dunia ketujuh mereka dan belum pernah terlepas untuk layak ke kejohanan empat tahun sekali itu sejak 1998.
Pencapaian terbaik mereka di kejohanan berprestij dunia itu adalah layak ke peringkat 16 pasukan terbaik sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2002 (Piala Dunia Korea/Jepun), 2010 (Afrika Selatan) dan 2018 (Rusia).
Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) juga mempunyai banyak perancangan jangka masa panjang termasuk visi 100 tahun iaitu menjuarai Piala Dunia pada tahun 2092.
Untuk memastikan mereka mampu merealisasikan visi tersebut, mereka turut mempunyai beberapa perancangan jangka masa pendek sehingga tahun 2030.
Dalam perancangan tersebut, JFA mahu Jepun berada dalam kelompok empat pasukan terbaik di Piala Dunia menjelang 2030.
Mampukah mereka mencapai sasaran ini pada Piala Dunia tahun ini? Jika tidak berjaya mereka masih mempunyai tempoh lapan tahun lagi untuk mencapai sasaran tersebut dan jika melihat kepada situasi semasa, tidak mustahil untuk Jepun mampu melakukan kejutan.
Dalam pada itu, disebalik kejayaan pasukan kebangsaan Jepun hasil kerja keras yang dilakukan oleh JFA, namun tahukah anda antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan bola sepak Jepun adalah watak anime Captain Tsubasa.
Anime Captain Tsubasa nukilan Yoichi Takahashi ini menceritakan mengenai seorang kanak-kanak berusia 11 tahun yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesional.
Mungkin ramai yang akan ketawa tetapi tahukan anda watak anime ini bukan sahaja mengubah landskap bola sepak Jepun tetapi juga telah memberi inspirasi kepada pemain bola sepak terkenal di serata dunia?
Selain pemain Jepun, antara pemain bintang terkemuka dunia yang menjadikan Captain Tsubasa sebagai inspirasi adalah Lukas Podolski, Alessandro Del Piero, Lionel Messi, Sergio Aguero, Alexis Sanchez, Andres Iniesta dan ramai lagi.
Sementara itu, lihat sahaja bagaimana pemain-pemain Jepun kini menjadi rebutan kelab-kelab di Eropah dan untuk skuad Piala Dunia 2022 boleh dikatakan lebih 80 peratus pemain Jepun beraksi di liga Eropah seperti di England, Sepanyol, Jerman, Perancis, Scotland, Portugal dan Belgium.