Pernah membimbing Kitchee menewaskan JDT, Jose Francisco Molina pencetus revolusi baru bola sepak Sepanyol

407

Ketika peminat seluruh dunia memberi pujian buat ketua jurulatih Luis Enrique atas kejayaannya yang dikecapi oleh pasukan kebangsaan Sepanyol, namun ramai yang tidak menyedari bahawa Jose Francisco Molina adalah individu yang bertanggungjawab dalam revolusi baru bola sepak Sepanyol ketika ini.

Bagi yang tidak mengenai Molina, beliau merupakan bekas penjaga gol kebangsaan Sepanyol yang telah dilantik sebagai Pengarah Sukan Persatuan Bola Sepak Sepanyol bagi mengembalikan zaman kegemilangan skuad La Roja.


Sepanyol mengalaman zaman kejatuhan sejak berjaya menjuarai Piala Dunia 2010 apabila mempamerkan aksi yang cukup mengecewakan dalam tiga kejohanan besar antaranya gagal mempertahankan gelaran juara dunia apabila tersingkir awal dari Piala Dunia 2014.

Pada tahun 2016, mereka sekali lagi gagal mempertahankan gelaran juara dalam kejohanan Euro apabila tewas 2-0 di tangan Itali pada Pusingan 16.

Aksi Sepanyol sekali lagi terus merudum pada Piala Dunia 2018 apabila tersungkur di Pusingan 16 sekali lagi dengan tewas kepada tuan rumah Rusia.

Berbalik kepada Molina, beliau seorang pemain yang mempunyai semangat juang yang cukup tinggi dan juga berjaya bangkit melawan penyakit kanser testis yang dialami pada tahun 2002 menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang.

Selepas mengharungi tempoh panjang merawat kanser, beliau akhirnya pulih sepenuhnya dan kembali turun beraksi dan akhirnya mengambil keputusan untuk bersara sebagai pemain bola sepak pada tahun 2007 dan menceburi bidang kejurulatihan.

Antara kelab yang pernah dikendalikannya adalah Villarreal C, Villarreal B, Getafe B sebelum berhijrah ke bumi Asia pada tahun 2014 untuk mengendalikan kelab elit Hong Kong iaitu Kitchee SC.

Beliau tidak mengambil lama untuk memberi impak kepada pasukan yang dikendalikannya apabila berjaya merangkul kejuaraan treble iaitu menjuarai Hong Kong Premier League, Hong Kong FA Cup dan Hong Kong League Cup.

Ketika bersama Kitchee, beliau juga pernah berjaya membantu pasukannya untuk menewaskan juara Liga Super Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), kendalian Bojan Hodak, sekali di laman sendiri dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala AFC sebelum perjalanan mereka di kejohanan itu kandas di peringkat suku akhir.

Molina kemudian berhijrah ke India untuk mengendalikan kelab ATK (Atletico de Kolkata) pada tahun 2016 yang mana beliau sekali lagi memperlihatkan kewibawaannya apabila berjaya membawa pasukan itu merangkul trofi kedua dalam sejarah kelab itu.

Apa yang menarik adalah kenyataan daripada bekas pemain ATK sendiri iaitu Jewel Raja yang berkata beliau belum pernah bertemu jurulatih seperti Molina yang sangat berani dan berkeyakinan dalam mempunyai keputusan termasuk falsafah bola sepak menyerangnya.

“Saya tidak pernah jumpa jurulatih seperti Jose Francisco Molina. Saya ingat selain Shilton Paul, setiap pemain dalam skuad mendapat minit permainan. Beliau seorang pengurus yang unik. Baginya, setiap pemain adalah sama dalam pasukan.”

Sebaik sahaja Molina memulakan tugas barunya sebagai Pengarah Sukan Persatuan Bola Sepak Sepanyol, beliau telah melantik Enrique untuk mengendalikan pemain-pemain muda yang akan menjadi sebahagian daripada generasi baru skuad Sepanyol selepas persaraan pemain senior terkemuka seperti David Silva, Gerard Pique dan Andres Iniesta.

Fokusnya adalah untuk mengubah taktikal dan falsafah bola sepak Sepanyol dan memberi lebih perhatian kepada pemain muda dan bukan ‘pemain bintang’.

Tugasnya bersama Enrique ketika itu adalah untuk mendapat keputusan positif pada kejohanan Euro 2020 yang menyaksikan mereka berjaya layak ke peringkat separuh akhir sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga.

Menariknya kombinasi Molina dan Enrique ini telah menyaksikan mereka telah membuat keputusan yang mengejutkan segelintir peminat termasuk mengenepikan dua penjaga gol terkemuka Sepanyol iaitu David De Gea dan Kepa Arrizabalaga. De Gea bukan penjaga gol yang memenuhi kehendak taktikal Enrique manakala Arrizabalaga dibelenggu kecederaan.

Keputusan untuk memberi peluang kepada penjaga gol yang kurang terkenal ketika itu, Unai Simon telah membuahkan hasil apabila Simon kini menjadi penjaga gol utama untuk pasukan kebangsaan dalam kempen Piala Dunia 2022.

Selain Simon, Molina juga memberi kepercayaan penuh kepada Enrique untuk memanggil pemain-pemain muda yang berpotensi besar walaupun ‘unproven’ di level senior, termasuk Gavi, Nico Williams, Hugo Guillamon, Yeremy Pino dan Alejandro Balde.

Revolusi yang dilakukan beberapa tahun lalu telah membuktikan Sepanyol sudah bangkit dari kekecewaan.

Pada perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2022 Qatar tadi, Sepanyol telah mempamerkan aksi yang cukup memukau apabila berjaya membelasah Costa Rica 7-0.

Mampukah mereka pergi jauh pada Piala Dunia edisi kali ini?