Punyai disiplin tinggi, Justin Hoh mampu ikut jejak Lee Chong Wei di bawah bimbingan Misbun Sidek
Untuk menjadi atlet yang berjaya dan bertaraf dunia, disiplin merupakan antara perkara utama yang harus dititikberatkan sepanjang karier.
Pemain muda negara, Justin Hoh baru-baru ini berkongsi rutin harian sesi latihannya bersama Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek.
Menurutnya, beliau akan bangun seawal 4 pagi untuk mulakan sesi latihan bersama legenda badminton negara itu dan akan bersedia di gelanggang lebih awal walaupun sesi latihan bermula 6.30 pagi.
Misbun sememangnya dikenali sebagai seorang jurulatih yang tegas dan tidak akan berkompromi dari segi disiplin para pemain.
Seperti yang pernah Misbun suarakan satu ketika dahulu, Chong Wei adalah seorang yang amat berdisiplin dan tidak pernah memberikan alasan untuk menjalani sesi latihan.
Misbun juga pernah mengakui bahawa Chong Wei sentiasa datang awal ke sesi latihan dan tidak pernah merungut dengan apa sahaja arahan beliau.
Disiplin dan semangat yang ditunjukkan oleh Justin ini amatlah mengagumkan dan sebagai seorang pemain muda dan berbakat besar, ini adalah penting dalam membentuk dirinya menjadi seorang pemain bertaraf dunia.
Sudah ramai pemain yang pernah berlatih dengan Misbun namun setakat ini, tiada pemain yang dilihat mampu mencapai atau menghampiri tahap Chong Wei.
Jika Justin mampu terus mengikuti tahap disiplin Chong Wei dalam berguru dengan Misbun, tidak mustahil negara akan melahirkan seorang lagi permata dalam sukan badminton dalam beberapa tahun lagi.
Tahun ini dilihat sebagai tahun ‘breakout’ buat Justin selepas berjaya mencatat beberapa kejuaraan dan juga menampilkan prestasi yang baik.
Jun lalu, Justin berjaya meraih gelaran Terbuka Croatia dan juga Bonn International di Jerman, dan beliau juga merupakan juara Siri Antarabangsa Remaja India Bawah 19.
Selain itu, beliau berjaya diletakkan dalam dalam skuad Elit Junior yang akan dihantar untuk menyertai kejohanan peringkat senior.
Beliau dilihat berada di landasan yang terbaik untuk menjadi seorang pemain yang hebat, dan mungkin mampu mengikuti jejak Chong Wei.
Apa yang penting adalah beliau harus konsisten dalam menjaga disiplin dan mengikut segala tunjuk ajar yang diberikan Misbun tanpa merungut.