Tan Cheng Hoe anggap ke final sebagai pencapaian yang baik, layak ke Piala AFC bonus

179

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe nyata berbangga dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini.

Beliau melihat kemaraan ini sebagai salah satu pencapaian membanggakan buatnya dan pasukan tatkala Selangor memulakan kempen musim ini dengan sedikit hambar.


“Memang kita hendak mencapai impian untuk ke Piala AFC tapi kalau kita lihat prestasi sepanjang musim ini, Selangor tidak berada di tahap terbaik.

Kejayaan ke final sejujurnya menjadi pencapaian terbesar dan merupakan langkahan pertama, kalau kita dapat kejuaraan adalah satu bonus untuk kita bermain di Piala AFC nanti,”

katanya kepada media.

Pada masa yang sama, beliau juga tidak ingin meletakkan sebarang jaminan pada perlawanan akhir ini tatkala mereka bakal bertemu dengan gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC.

Musim ini, merupakan tahun terbaik buat JDT selepas mereka layak ke pusingan 16 terbaik AFC Champions League 2022 serta berjaya mengelakkan sebarang kekalahan setakat ini pada aksi Liga Malaysia.

“Kalau bawa mana-mana jurulatih terbaik di dunia sekalipun tidak boleh memberikan sebarang jaminan di perlawanan akhir.

Semestinya impian semua jurulatih untuk menjadi juara, tapi bukan mudah dalam masa singkat ini untuk bawa pasukan berada di tahap terbaik.”

Momentum kecemerlangan Selangor sedikit terjejas selepas pemain pertahanan utama, Yazan Al-Arab tidak dapat diturunkan pada perlawanan akhir selepas mengumpulkan dua kad kuning pada perlawanan separuh akhir kedua yang lalu.

Ketiadaan Yazan akan jelas dirasai oleh barisan pertahanan Selangor memandangkan pemain tersebut merupakan antara nadi utama pasukan.

“Ketiadaan Yazan menjadi satu kehilangan besar buat pasukan kita kerana beliau mendapat kad kuning kedua pada perlawanan tempoh hari.

Beliau berganding baik dengan Sharul Nazeem di benteng pertahanan.”

Namun, Cheng Hoe percaya pemain yang bakal dimasukkan sebagai gantian, Richmond Ankrah akan turut berjaya memberikan aksi terbaik.

Beliau sebelum ini berjaya mempamerkan persembahan yang cukup menakjubkan dengan satu jaringan sewaktu dibawa masuk pada aksi separuh akhir pertama.

“Kalau kita lihat dalam perlawanan pertama separuh akhir tanpa Yazan, Richmond mengambil tugas tersebut bermain begitu baik.

Kita harap sekali lagi Richmond dapat menggalas tugas tersebut dan pamer aksi terbaik pada esok hari.”

Selain Yazan, kesemua pemain Selangor dilihat berada di tahap terbaik dan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan penentuan yang bakal berlangsung pada esok hari (26 November).

Cheng Hoe perlu memastikan anak buahnya dapat terus memberikan aksi berkualiti bagi menyekat JDT memenangi trofi keempat mereka musim ini.