Sharul Nazeem akui gugup namun bersedia ke pentas final Piala Malaysia buat pertama kali
Pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem akui berasa sedikit gugup untuk beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang pasukan Johor Darul Ta’zim FC.
Hal ini kerana, ia adalah pentas akhir Piala Malaysia pertama buat pemain muda berusia 23 tahun tersebut.
“Ini adalah salah sebuah piala terbesar di dalam Malaysia, ini merupakan kali pertama saya merasai final.
Semestinya saya gugup tetapi dalam bola sepak semua sama, kami cuma perlu biasakan diri dengan cepat dan fokus terhadap gerakan yang akan dilakukan oleh JDT,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Namun, beliau tidak akan terlalu terkesan dengan perkara tersebut dan berjanji untuk memberikan aksi terbaik bersama rakan sepasukannya dalam usaha menghadiahkan trofi kepada peminat Gergasi Merah setelah sekian lama.
Kali terakhir pasukan Selangor mendakap kejuaraan adalah pada tahun 2015 menerusi kejayaan menjuarai Piala Malaysia ketika itu.
“Bagi saya, kita pun sudah lama tidak menjadi juara.
Jadi, saya rasa inilah masa terbaik untuk para pemain menunjukkan kebolehan bagi memenangi Piala Malaysia tahun ini, saya harap semua dapat beri yang terbaik untuk 90 minit pada malam esok.”
Beliau juga menyedari bahawa laluan untuk bergelar juara bukanlah mudah memandangkan lawan mereka merupakan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut serta memiliki lambakan pemain berkualiti di segenap posisi.
Akan tetapi, Sharul tetap percaya dengan kemampuan beliau untuk terus berikan aksi terbaik bagi mengekang kemaraan barisan serangan JDT.
“Kita tahu pemain-pemain JDT semuanya bagus dan kebanyakan mereka dari pemain kebangsaan.
Kami perlu bermain seperti biasa, saya sebagai pertahanan ingin rakan-rakan terus fokus kepada semua gerakan yang dilakukan oleh JDT.”
Sharul telah tersenarai di dalam senarai awal 30 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon bagi persiapan menuju ke saingan Piala AFF tahun ini.
Semoga khabar baik ini akan menjadi pembakar semangat untuk beliau terus pamerkan aksi terbaik dan membawa Selangor meraih kejuaraan Piala Malaysia.