Belum lagi umum ketua jurulatih, Terengganu sudah jumpa pengganti Faisal Halim
Pihak pengurusan Terengganu FC setakat ini masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi terhadap pengganti jawatan ketua jurulatih yang telah ditinggalkan oleh Nafuzi Zain seperti yang telah sedia maklum.
Walaupun dengan ketiadaan ketua jurulatih yang baru, kelab tersebut dilihat seakan rancak menguruskan urusan jual-beli pemain bagi menghadapi saingan musim.
Ketika ini, khabar angin sedang bertiup kencang melibatkan kemasukan pemain import Melaka United FC musim ini, Sony Norde ke dalam pasukan pantai timur tersebut.
Norde dilihat mampu menjadi pengganti terbaik kepada pemain sayap, Faisal Halim yang bakal beraksi dengan pasukan lain pada musim hadapan.
Pemain berusia 33 tahun tersebut memang cukup dikenali dengan kelincahan beliau beraksi di bahagian sayap serta mampu bermain di bahagian tengah.
Musim ini, beliau beraksi sebanyak 14 perlawanan untuk pasukan Melaka United dan berjaya menjaringkan dua gol serta lima bantuan jaringan.
Empat daripada lima bantuan jaringan tersebut berjaya dihasilkan sewaktu beliau diletakkan sebagai pemain sayap.
Isu tunggakan gaji serta masalah dalaman yang menimpa Melaka United memaksa Norde untuk mengangkat kaki mencari pasukan baru musim depan.
Terengganu akan menjadi pilihan terbaik buat Norde tatkala beliau juga berpeluang untuk beraksi di Piala AFC bagi tahun 2023.
Pada masa yang sama, rata-rata peminat dapat meramal bahawa pengganti yang bakal mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih adalah Pengarah Teknikal, Tomislav Steinbruckner.
Ini kerana, berita tentang lantikan beliau sudah rancak diperkatakan malah sebelum musim ini bermula lagi.
Jurulatih berasal dari Croatia tersebut pernah menguruskan beberapa pasukan di negara kelahirannya, pasukan terakhirnya adalah Bijelo Brdo yang kini beraksi di liga divisyen kedua Croatia pada musim ini.
Sepanjang mengendalikan pasukan tersebut pada tahun 2020 sehingga penghujung 2021, Steinbrunckner sempat mengendalikan sebanyak 53 perlawanan dan berjaya meraih 24 kemenangan daripadanya.
Beliau juga terkenal dengan kemampuannya melatih pemain muda menerusi pengalamannya mengendallikan skuad muda untuk beberapa kelab utama di Croatia seperti NK Osijek sebelum ini.
Dengan kelebihan ini, beliau dilihat mampu memanfaatkan kehadiran pemain-pemain muda pasukan Terengganu seperti Syafik Ismail, Azam Azmi Murad dan Hakimi Abdullah untuk mempersiapkan sebuah pasukan kuat musim depan.
Selain Faisal, Kpah Sherman turut dikhabarkan bakal meninggalkan pasukan musim ini dan menyertai sebuah lagi kelab pantai timur, Sri Pahang FC bagi saingan musim 2023.
Mereka perlu segera mencari keserasian sebelum saingan musim depan bermula bagi memastikan rentak kecemerlangan yang berjaya diraih pada tahun ini dapat terus dikekalkan.
Di bawah kendalian Nafuzi, Terengganu berjaya layak ke perlawanan akhir Piala FA, meraih tempat kedua Liga Super serta mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.
Pencapaian yang agak baik buat pasukan tersebut meskipun bermula agak perlahan pada awal saingan tahun ini.
Semestinya para peminat Sang Penyu teruja untuk menantikan perubahan yang bakal berlaku kepada pasukan kelak.
Peteh Ganu Peteh!