Selangor FC di bawah Tan Cheng Hoe pasukan yang lebih berbahaya – Farizal Marlias

410

Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias mengakui Selangor FC di bawah Tan Cheng Hoe adalah satu pasukan berbeza dengan gaya permainan yang lebih tersusun.

Beliau melihat pasukan Selangor kini lebih teratur di bahagian pertahanan dan serangan selain berbahaya dari segi serangan balas.


“Apabila Tan Cheng Hoe bawa pasukan Selangor nampak perbezaan dari sebelum ini, mereka lebih tersusun dan teratur dari segi pertahanan dan serangan.

Mereka juga ada pemain yang pantas di bahagian sayap jadi kami harus berhati-hati apabila mereka lakukan serangan balas,” katanya.

Beliau berkata, persiapan pasukan kini berada dalam keadaan yang baik dan semua pemain bersedia untuk menghadapi perlawanan itu.

Farizal bertekad tidak mahu mengulangi kekecewaan musim lalu apabila terlepas Piala Malaysia setelah tewas pada perlawanan akhir kepada KL City FC.

Sementara itu, beliau berharap supaya cuaca esok berada dalam keadaan yang baik supaya tidak merosakkan permukaan padang.

“Jika padang tidak berada dalam keadaan baik sudah pasti kedua-dua pasukan tidak dapat berikan persembahan yang baik.

Tetapi kami harus bersedia dengan sebarang kemungkinan, jadi mungkin aka nada perancangan berbeza apabila cuaca tidak baik Cuma saya harap esok tidak hujan.”

Perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Selangor dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 9 malam esok.