Penyokong dilarang bawa bendera parti politik ke stadium, anggota preman akan duduk bersama penyokong

338

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, ACP (B) MD Dali Wahid menasihatkan penyokong yang hadir pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC supaya tidak membawa bendera parti politik ke stadium.

Katanya, tindakan itu boleh mencipta provokasi dan boleh diambil tindakan tegas oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).


“Untuk final Piala Malaysia ini saya rasa kawalan keselamatan sudah mencukupi dan ingin saya ingatkan di sini suapya bendera politik tidak dibawa masuk ke dalam stadium.

Bukan itu saja, bendera lain yang boleh menimbulkan provokasi juga tidak boleh dan akan diambil tindakan tegas oleh PDRM,”

katanya.

Beliau mengingatkan supaya insiden seperti yang berlaku selepas perlawanan separuh akhir antara Terengganu dan Selangor baru-baru ini tidak berulang.

Dalam pada itu, Ketua Polis IPD Cheras, ACP Zam Halim menegaskan bahawa PDRM meningkatkan jumlah anggota esok bagi kawalan keselamatan di seluruh stadium.

Beliau berkata, anggota polis yang berpakaian preman juga akan dikerahkan untuk duduk bersama-sama penyokong bagi memantau keselamatan dalam stadium.

“Kami ambil iktibar daripada insiden-insiden sebelum ini dan harap semua penyokong menjaga tingkah laku serta tidak melakukan sebarang perkara yang boleh menimbulkan kekacauan.

Selain itu, kami juga ada pasukan yang akan memantau media sosial untuk pastikan tiada provokasi yang ditimbulkan di media sosial.”

Sementara itu, beliau menasihatkan penyokong supaya datang awal ke stadium untuk mengelakkan trafik sesak menjelang perlawanan itu.

Tambahnya, penyokong juga harus memastikan mereka tidak membawa barangan terlarang kerana terdapat anggota yang akan membuat pemeriksaan di pintu masuk stadium.