Terima kasih VAR, pasukan Asia hampir jadi mangsa pengadil Guatemala

639

Keputusan pengadil Mario Escobar yang bertindak menyemak semula keputusannya dalam insiden kekasaran yang dilakukan oleh penjaga gol Wales, Wayne Hennessey terhadap pemain Iran, Mehdi Taremi, telah mengubah keputusan perlawanan apabila pasukan dari Asia itu menang 2-0 di tambahan masa.

Dalam insiden tersebut, Escobar pada mulanya memberikan kad kuning atas kekasaran yang dilakukan Hennessey, namun kemudian telah menukar keputusannya kepada kad merah selepas beliau dinasihat oleh VAR untuk menyemak semula insiden tersebut.


Penjaga gol berpengalaman itu dengan jelas melakukan kekasaran ‘goal prevention’ di luar kotak penalti terhadap selain mengangkat kaki tinggi.

Insiden yang berlaku di penghujung babak kedua itu telah menyebabkan Wales terpaksa bermain dengan 10 pemain dan pemain Iran mengambil kesempatan itu sepenuhnya dengan menjaringkan dua gol lewat untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan Kumpulan B.

Keputusan yang dilakukan oleh Escobar atas nasihat VAR itu sekaligus menyelamatkan pasukan dari Asia itu dari menjadi mangsa pengadil.

Ia juga menjadi kad merah pertama kejohanan Piala Dunia yang berlangsung di Qatar diberikan oleh pengadil yang kali pertama menjadi pengadil di kejohanan bola sepak berprestij dunia, dan mungkin atas sebab teruja menyebabkan beberapa keputusan yang dilakukan mendapat pertikaian daripada pemain dan jurulatih.

Namun pujian harus diberikan kepada beliau kerana berjaya mengawal perlawanan dengan baik hasil bantuan VAR.

Escobar merupakan pengadil ketiga dari Guatemala yang diberi kepercayaan untuk mengendalikan perlawanan di Piala Dunia selepas Romulo Mendez Molina dan Carlos Batres.

Kemenangan ke atas Wales ini bukan sahaja dapat mengubat kekecewaan mereka selepas dibelasah 6-2 oleh England dalam perlawanan pertama, tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk mara ke Pusingan 16 buat pertama kali dalam sejarah.

Iran belum pernah melepasi peringkat kumpulan sejak kali pertama menyertai Piala Dunia pada 1978 walaupun menjadi pasukan dari Asia yang berada di ranking tertinggi di tempat ke-20 pada edisi ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Ahmad bin Ali, Iran telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang perlawanan dan sangat menduka citakan sekiranya mereka tidak berjaya menang pada perlawanan tadi.

Berdasarkan statistik perlawanan, Wales yang lebih banyak menguasai perlawanan dengan 62% possession, namun serangan balas pantas oleh Iran menjadi senjata utama mereka dan ia terbukti apabila mereka berjaya melakukan 21 percubaan dengan enam percubaan tepat ke sasaran, manakala Wales pula hanya berjaya melakukan 10 percubaan dengan hanya tiga tepat ke sasaran.

Iran telah mempamerkan corak permainan berintensiti tinggi yang mana pemain Wales dilihat bergelut untuk mengimbangi dan merencana serangan kerana setiap serangan yang dilakukan mudah dipatahkan oleh barisan pertahanan yang mempamerkan disiplin yang cukup tinggi sepanjang perlawanan.

Dua gol Iran dihasilkan oleh Rouzbeh Cheshmi pada minit ke-90+8 dan Ramin Rezaeian pada minit 90+11.

Selepas ini dalam perlawanan terakhir, Iran akan bertemu dengan USA yang mana pertembungan itu dijangka akan menjadi sengit dan hangat serta tumpuan ramai kerana satu dunia sedia maklum dengan permasalahan politik yang berlaku antara kedua-dua negara ini yang sudah berlanjutan selama puluhan tahun.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan ini pernah bertemu sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada Piala Dunia 1998 (Iran menang 2-1) dan pada tahun 2000 dalam satu perlawanan persahabatan yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.