Jual susu demi beli kasut bola pertama, kakak diculik…perjalanan menakjubkan Enner Valencia bersama Ecuador terus bersinar
Enner Valencia menjadi wira buat pasukan Ecuador apabila jaringan beliau pada minit ke-49 berjaya mengikat pasukan Netherlands 1-1 sekaligus mengutip satu mata berharga dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala Dunia 2022 Qatar.
Keputusan seri ini telah menyaksikan Ecuador kini mengumpul empat mata berkongsi kedudukan dengan Netherlands sekaligus memastikan peluang mereka untuk mara ke peringkat pusingan 16 masih terbuka luas.
Ecuador bagaimanapun perlu memastikan pada perlawanan terakhir menentang Senegal mereka perlu sekurang-kurangnya seri untuk layak dan melihat kepada prestasi semasa pasukan yang diberi jolokan The Tri itu, mereka mempunyai peluang cerah.
Ketua pasukan Ecuador, Valencia juga kini menjadi pemain pertama dalam sejarah Piala Dunia yang menjaringkan enam gol berturut-turut untuk sebuah pasukan Amerika Selatan.
Bagaimanapun kejayaan yang dikecapi oleh pemain berusia 33 itu bukanlah semudah seperti yang disangka kerana beliau terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang karier bola sepaknya sebelum menjadi pemain berkualiti seperti ketika ini.
Valencia dilahirkan dalam keluarga yang sangat miskin dan beliau tidak pernah merungut sebaliknya berusaha keras untuk membantu keluarga termasuk bekerja untuk menyara keluarga, pada masa sama terus mengejar impian bola sepaknya.
Kasut bola pertamanya dibeli dengan hasil titik peluhnya sendiri menjual susu dari ladang. Beliau juga mendedahkan sering tidur di Stadium Capwell dan jarang menjamah makanan dek tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.
Namun cintanya terhadap bola sepak menjadi pembakar semangat utama buat dirinya untuk mengejar impian menjadi pemain bola sepak profesional.
Ketika impiannya menjadi kenyataan, Valencia sekali lagi ditimpa malapetaka besar apabila kakaknya, Erci telah diculik oleh sekumpulan penculik bersenjata di bandar Ecuador, bagaimanapun 10 hari kemudian kakaknya berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa.
Tidak cukup dengan itu, pada tahun 2016 ketika Valencia diusung keluar pada perlawanan kelayakan PIala Dunia 2018 menentang Chile, beliau telah dikejar oleh pihak polis yang mempunyai waran tangkap selepas beliau didakwa gagal membayar nafkah anaknya.
Jika diamati, perjalanan hidup pemain itu cukup berliku dengan pelbagai onak dan duri tetapi Valencia terus cekal dan masih lagi berdiri sehingga kini.
Segala masalah yang dihadapi tidak langsung menjejaskan karier bola sepaknya, malah namanya kini menjadi sebutan dalam kempen Piala Dunia 2022 dengan peminat Ecuador meletak harapan tinggi kepada beliau untuk membawa pasukan melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Dunia tahun ini.
Pencapaian terbaik Ecuador di pentas Piala Dunia adalah pada tahun 2006 di Jerman yang mana mereka berjaya mara ke pusingan 16.
Untuk pengetahuan, skuad Piala Dunia Ecuador kali ini adalah skuad kedua termuda bersama USA dengan purata umur pemain berusia 24 tahun, manakala Ghana mempunyai skuad termuda dengan purata pemain berusia 23.5 tahun.
Sementara itu, peminat Ecuador kini berharap Valencia dapat diturunkan pada perlawanan terakhir kumpulan nanti berikutan beliau telah diusung keluar pada penghujung perlawanan akibat kecederaan.
Semoga tiada kecederaan serius yang dialaminya dan cepat sembuh supaya dapat terus menabur bakti kepada negaranya.