Beraksi di kelab sama dengan Hadi Fayyadh, Mitchell Duke buktikan kualiti pemain J2 League bukan ‘cikai’

88

Wakil Asia, Australia menghidupkan kembali peluang untuk mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Tunisia dalam kumpulan D.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang yang bermain untuk kelab J2 League, Fagiano Okayama iaitu Mitchell Duke pada minit ke-23.


Duke menjadi pilihan ketua jurulatih, Graham Arnold untuk mengepalai barisan serangan Australia pada kedua-dua perlawanan setakat ini.

Walaupun hanya bermain di liga kedua Jepun, beliau berjaya membuktikan keupayaannya menjaringkan gol pada pentas bola sepak terbesar dunia.

Ini membuktikan bahawa tidak kisah jika seseorang pemain itu bermain di liga bawahan sekalipun, sekiranya beliau bekerja keras sudah tentu akan membuahkan hasil.

Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa kualiti yang ada pada J2 League bukanlah calang-calang.

Jika dilihat statistik Duke pada musim ini, ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan apabila hanya meledak lapan gol daripada 36 perlawanan dan kelabnya pula menduduki tangga ketiga liga.

Tetapi itu semua tidak membuatkan Arnold sedikitpun ragu-ragu untuk membawa pemain berusia 31 tahun itu ke Qatar.

Malah, Duke juga berjaya mengenepikan penyerang-penyerang lain yang bermain di liga utama termasuklah Awer Mabil yang bermain di La Liga bersama Cadiz untuk berada dalam kesebelasan utama.

Mungkin ada yang tidak tahu, pemain muda negara, Hadi Fayyadh yang ketika ini bermain untuk kelab J3 League, Azul Claro Numazu ialah pinjaman dari Fagiano Okayama.

Apa yang dibuktikan oleh Duke ketika ini boleh dijadikan inspirasi kepada Hadi untuk berusaha keras apabila beliau kembali semula ke kelab itu nanti.

Sebelum ini, Hadi langsung tidak mendapat peluang untuk mencatat penampilan buat Fagiano Okayama sejak menyertai kelab itu pada 2019 daripada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bersama Azul Claro Numazu pula, beliau setakat ini hanya mencatatkan tiga penampilan, kesemuanya dari bangku simpanan.

Tempoh pinjaman beliau akan tamat pada Januari tahun depan dan selepas itu mungkin akan kembali semula ke Fagiano Okayama.

Tetapi, tidak mustahil dengan usaha keras Hadi mampu mengikut jejak langkah Duke menjaringkan gol di pentas yang besar buat Malaysia seperti Piala Asia satu hari nanti.

Berbalik kepada prestasi Australia ketika ini, mereka mampu mencerahkan peluang untuk melangkah ke pusingan kalah mati sekiranya berjaya menewaskan Denmark pada perlawanan terakhir nanti.

Ketika ini, Australia menduduki tangga kedua kumpulan dengan tiga mata di hadapan Denmark yang memiliki satu mata, namun kekurangan satu perlawanan yang akan berdepan Perancis yang kini memimpin kumpulan tersebut.

Australia perlu mengharapkan Perancis menampilkan aksi sama ketika membelasah mereka 4-1 sebelum ini apabila menentang Denmark kelak.