Tewaskan Messi, tunduk kepada Lewandowski, Arab Saudi perlukan sentuhan Ronaldo!

147

Selepas menampilkan kejutan menewaskan pasukan pilihan, Argentina pada perlawanan pertama, wakil Asia, Arab Saudi gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas 2-0 kepada Poland.

Walaupun mereka merupakan pasukan yang lebih baik pada perlawanan itu, ketajaman penyudah Poland menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan itu.


Pada perlawanan itu, Arab Saudi jelas mengawal perlawanan dengan 64 peratus kawalan bola serta 16 percubaan (lima ke sasaran) berbanding sembilan percubaan yang dilakukan Poland (tiga ke sasaran).

Ini jelas berbeza berbanding perlawanan sebelum ini apabila mereka berjaya menjaringkan dua gol daripada hanya dua percubaan ke sasaran apabila menentang Argentina.

Dua pemain Al-Hilal yang menjaringkan gol menentang Argentina sebelum ini nampaknya gagal menunjukkan ketajaman mereka pada perlawanan ini.

Mungkin apa yang diperlukan oleh mereka adalah seorang ‘sifu’ yang merupakan penyerang prolifik untuk mengajar cara menjaringkan gol dengan konsisten.

Sebelum ini, legenda Portugal, Cristiano Ronaldo pernah ditawarkan £2 juta (RM10.5 juta) seminggu untuk menyertai Al-Hilal.

Ketika ini, beliau sudah tidak mempunyai kelab selepas berpisah dengan Manchester United baru-baru ini.

Dengan perkembangan terbaru ini, Al-Hilal dikhabarkan sudah membuat satu lagi ‘tawaran mega’ kepada Ronaldo bagi menarik beliau menyertai kelab itu.

Sekiranya kelab itu berjaya memujuk Ronaldo untuk bermain di Arab Saudi, sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada pemain-pemain Al-Hilal terutama Saleh Al-Shehri dan Salem Al-Dawsari yang merupakan ayam tambatan kepada barisan serangan Arab Saudi.

Al-Dawsari yang gagal menyudahkan sepakan penalti menentang Poland juga pastinya mampu belajar banyak perkara daripada Ronaldo.

Untuk pengetahuan, Al-Dawsari sebelum ini pernah bermain di Sepanyol dengan kelab Villarreal secara pinjaman di bawah kerjasama Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi dan La Liga.

Walaupun hanya melakukan satu penampilan menentang Real Madrid pada perlawnaan terakhir musim 2017/18, ia merupakan satu pengalaman berharga buatnya yang tidak pernah keluar daripada Al-Hilal sepanjang kariernya.

Bersama Al-Hilal, pemain berusia 31 tahun itu sudah mencatatkan 309 penampilan dengan 71 gol dan 62 bantuan gol, serta berjaya menjulang trofi liga sebanyak lima kali.

Ini merupakan Piala Dunia kedua buat pemain ini dan mungkin edisi kali ini menjadi yang terakhir buatnya yang bakal berusia 35 tahun pada Piala Dunia 2026 nanti, dan beliau berdepan tugas sukar untuk membawa pasukannya ke pusingan kalah mati dengan kekalahan kepada Poland ini.

Misi Arab Saudi untuk melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 1994 menjadi semakin sukar.

Dalam empat edisi Piala Dunia yang disertainya sebelum ini (1998, 2002, 2006 dan 2018), The Green Falcons hanya mampu mencatatkan satu sahaja kemaraaan.

Selepas ini mereka bakal bertemu Mexico, lawan yang mempunyai kelebihan ke atas mereka berdasarkan rekod pertemuan (lima perlawanan: satu seri, empat kekalahan).

Di atas kertas, Mexico yang menduduki tangga ke-13 dalam ranking FIFA pastinya menjadi pilihan untuk menewaskan Arab Saudi yang berada di ranking ke-51.

Namun, sekiranya Arab Saudi mampu memperbaiki ketajaman penyudahnya dan menampilkan permainan seperti ketika menentang Argentina dan Poland, tidak mustahil mereka akan memecahkan badi dan mencipta upset sekali lagi.