Misi wajib menang, Australia tidak boleh berharap kepada Perancis untuk tewaskan ‘saudara Afrika’, Tunisia

158

Penyandang juara, Perancis tiada masalah menundukkan Denmark 2-1 pada perlawanan kumpulan D Piala Dunia sebentar tadi.

Keputusan ini pastinya mengukir senyuman buat wakil Asia, Australia yang kini berada di tangga kedua kumpulan.


Di atas kertas, Perancis tiada masalah untuk mencatatkan kemenangan ke atas Tunisia pada perlawanan terakhir nanti, jadi Australia hanya perlu seri dengan Denmark untuk layak ke pusingan seterusnya.

Namun, mungkin ramai yang tidak sedar bahawa ramai pemain yang berada dalam skuad Piala Dunia Tunisia kali ini mempunyai kaitan dengan Perancis.

Mereka adalah Mouez Hassen, Montassar Talbi, Nader Ghandri, Dylan Bronn, Wajdi Kechrida, Hannibal Mejbri, Aissa Laidouni, Ellyes Skhiri, Wahbi Khazri dan Naim Sliti.

Kesemua pemain ini dilahirkan di Perancis walaupun memiliki kerakyataan Tunisia.

Berdasarkan sejarah, Perancis juga dikenali mempunyai ramai pemain yang mempunyai darah Afrika seperti Patrick Vieira (Senegal), Zinedine Zidane (Algeria), Paul Pogba (Guinea), N’Golo Kante (Mali), Karim Benzema (Algeria) dan ramai lagi.

Dalam skuad kali ini, terdapat seorang pemain yang berasal dari Tunisia iaitu pemain AS Monaco, Wissam Ben Yedder.

Berdasarkan kedudukan ketika ini, Perancis dilihat tiada masalah untuk menamatkan kumpulan D di tangga pertama.

Ketua jurulatih, Didier Deschamps sudah tentu tidak mahu mengambil risiko terhadap pemain utamanya kerana sudah layak ke pusingan seterusnya.

Jadi tidak mustahil beliau hanya akan meletakkan skuad kedua untuk perlawanan menentang Tunisia selepas ini dan secara tidak langsung ‘membantu’ mencerahkan peluang ‘adik’ layak ke kalah mati.

Walaupun menduduki tangga tercorot kumpulan ketika ini, perjalanan Tunisia masih belum tamat dan mampu melangkah ke pusingan kalah mati sekiranya menewaskan Perancis, dan turut bergantung kepada perlawanan antara Denmark dan Australia.

Mungkinkah Perancis akan ‘membantu’ Tunisia yang juga wakil dari benua Afrika yang telah ‘membekalkan’ ramai pemain berbakat kepada mereka sejak dahulu lagi sehingga dua kali menjadi juara dunia?

Kemungkinan ini pastinya tidak digemari oleh Australia yang hanya memerlukan seri pada perlawanan terakhir dan mengharapkan Tunisia tidak menewaskan Perancis.

Mahu atau tidak, Australia harus menewaskan juga Denmark bagi memastikan layak ke pusingan seterusnya.

Ini juga akan menamatkan ‘badi’ peringkat kumpulan buat Australia yang kali terakhir berjaya mara ke pusingan kalah mati pada edisi 2006 di Jerman.

Jika perlawanan menentang Tunisia menjadi ukuran, Australia pastinya mempunyai kelebihan kerana mencatat kemenangan 1-0 ke atas pasukan itu, di mana Denmark hanya mampu seri 0-0.

Namun berdasarkan rekod pertemuan, Denmark yang berada di ranking ke-10 FIFA mempunyai sedikit kelebihan di mana mereka mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam empat pertemuan dengan Australia yang berada di ranking ke-38.