Pertembungan epik Messi dan Lewandowski buktikan siapa lebih hebat, siapa bakal pulang awal

863

Juara Piala Dunia dua kali, Argentina menghidupkan kembali peluang untuk mara ke pusingan kalah mati selepas bangkit daripada kekalahan mengejut kepada Arab Saudi pada perlawanan pertama, dengan menewaskan Mexico 2-0.

Kapten pasukan, Lionel Messi menjadi watak penting dalam kemenangan tersebut dengan menjaringkan gol pembukaan, sebelum Enzo Fernandez menggandakan jaringan pada minit-minit terakhir perlawanan setelah menerima assist Messi.


Dengan kejutan yang berlaku pada perlawanan pertama, ia menyaksikan perebutan dua tempat teratas dalam kumpulan C masih terbuka buat semua pasukan dan bakal ditentukan pada perlawanan terakhir.

Perlawanan yang paling mencuri tumpuan sudah pasti Argentina menentang Poland yang pada awalnya merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan ini.

Bukan itu sahaja, pertembungan dua penyerang prolifik, Messi dan Robert Lewandowski, yang merupakan antara penyerang terbaik dekad ini, pastinya dinanti-nantikan ramai.

Pada tahun 2021, kedua-dua pemain itu bertembung di pentas Ballon d’Or, di mana Messi berjaya membawa pulang anugerah itu buat kali ketujuh walaupun ramai yang menganggap Lewandowski lebih berhak.

Beliau yang mengakui sedih dan kecewa selepas tewas kepada Messi untuk anugerah itu berpeluang ‘membalas dendam’ pada perlawanan tersebut, sekaligus menghantar Messi dan rakan-rakan pulang awal.

Musim ini, kedua-dua pemain berada dalam prestasi yang amat baik dengan Messi mengumpul 14 gol dan 12 bantuan gol dalam 19 penampilan bersama PSG, manakala Lewandowski turut cemerlang dengan 18 gol serta empat bantuan gol dalam 19 penampilan bersama Barcelona.

Jadi, perlawanan ini juga merupakan peluang buat Lewandowski membuktikan siapa yang lebih hebat pada saat ini, terutamanya beliau kini merupakan harapan barisan serangan Barcelona menggantikan Messi.

Ketika ini, Poland memimpin kumpulan C dengan empat mata, diikuti Argentina dengan tiga mata, Arab Saudi di kedudukan ketiga juga dengan tiga mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan, manakala Mexico pula di tangga tercorot selepas hanya mencatatkan satu seri dan satu kekalahan.

Poland dilihat paling selesa kerana hanya memerlukan seri untuk sah layak ke pusingan seterusnya, manakala Argentina wajib menang memandangkan Arab Saudi atau Mexico masih boleh mengejar mata mereka sekiranya tewas.

Namun berdasarkan rekod pertemuan dengan Poland, Argentina berjaya mencatatkan enam kemenangan, dua seri dan hanya tiga kekalahan dalam 11 perlawanan.

Dalam pada itu, kemenangan ke atas Mexico sebentar tadi sudah pasti diraikan oleh seluruh warga Argentina melainkan barisan kejurulatihan Mexico yang diketuai bekas ‘guru’ Messi, Gerardo Martino.

Jauh di sudut hatinya, sudah pasti mengharapkan mampu menundukkan negara kelahirannya itu bagi memastikan rekod Mexico layak ke pusingan kalah mati secara berturut-turut sejak edisi 1994 tidak musnah.

Argentina pula kali terakhir tersingkir dari peringkat kumpulan pada tahun 2002.

Sekiranya tersingkir awal, mungkin kesedihan beliau akan terubat sekiranya bekas anak buahnya itu berjaya membawa Argentina menjulang trofi Piala Dunia ketiga untuk negara.