Usia BUKAN sekadar nombor, jika lepas peringkat kumpulan pun skuad ‘kuda tua’ Belgium tak akan pergi jauh

1,914

Ada yang berkata usia hanyalah sekadar nombar. Ada benar dan ada juga tidak benarnya kerana dalam dunia bola sepak, usia sememangnya merupakan antara peranan yang cukup penting dalam membentuk sebuah skuad yang ampuh.

Untuk Piala Dunia 2022 Qatar, pasukan Belgium hadir dengan status skuad tertua dalam kempen kali bersama Iran dengan purata usia pemain 29 tahun.


Sebentar tadi dalam perlawanan kedua Kumpulan F, Belgium telah dikejutkan dengan kekalahan 2-0 kepada skuad muda Morocco.

Prestasi kurang memberangsangkan daripada skuad The Red Devils sebenarnya sudah pun diramal oleh tonggak mereka sendiri iaitu Kevin De Bruyne yang telah membuat kenyataan mengejutkan ramai apabila mengatakan pasukan Belgium tidak mampu untuk mara jauh di Piala Dunia kali ini kerana skuad ‘terlalu tua’.

Malah dalam kenyataannya itu juga berkata peluang terbaik untuk menjulang trofi berprestij dunia itu adalah pada Piala Dunia 2018 di Rusia, tapi mereka gagal melakukannya apabila menamatkan kempen di tempat ketiga sekaligus menjadi pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia.

Sumber foto: Main Stand

Kenyataan itu umpama menjadi kenyataan apabila pada perlawanan pertama kumpulan mereka hanya berjaya menang 1-0 sahaja ke atas pasukan Kanada sedangan mereka berada di ranking No.2 dunia, manakala lawan pula berada di ranking ke-41 dunia.

Tidak dapat dinafikan pasukan kendalian Roberto Martinez sememangnya mendominasi perlawanan dengan 54% possession, namun mereka hanya berjaya melakukan sembilan percubaan dengan tiga percubaan tepat ke sasaran.

Berbeza dengan pasukan Kanada pula yang tidak mempunyai possession yang banyak tetapi serangan mereka cukup efektif apabila melakukan 21 percubaan dengan empat tepat ke sasaran.

Disebalik melakukan lebih banyak hantaran, namun ia langsung tidak diterjemahkan dengan jumlah percubaan dan serangan apabila mereka hanya berjaya melakukan 78 serangan manakala pihak lawan membuat 99 serangan.

Perbezaan ketara dapat dilihat menerusi serangan berbahaya apabila Belgium hanya melakukan 19 serangan berbahaya, sedangkan Kanada melakukan 65 serangan berbahaya hampir empat kali ganda efektif.

Sementara itu, ketika menentang Morocco pula Belgium masih mempamerkan corak permainan hampir serupa apabila menguasai permainan dengan 67% peratus dengan berjaya melakukan 10 percubaan dengan empat tepat ke sasaran, tetapi gagal menembusi gawang lawan.

Pada perlawanan kedua ini, Belgium dilihat sedikit agresif apabila mendapat sebanyak sembilan sepakan sudut dengan pihak lawan hanya satu, namun bahagian serangan mereka tumpul untuk mencari gol.

Jumlah serangan mereka juga bertambah apabila melakukan 128 serangan dengan 46 daripadanya adalah serangan berbahaya.

Tetapi apa yang membezakan antara kedua-dua pasukan adalah pemain Morocco sangat pantas dalam melakukan serangan balas dan menggunakan peluang set pieces dengan begitu baik sekali.

Melihat kepada kesebelasan utama yang diturunkan diturunkan hanya empat pemain sahaja berusia bawah 30 tahun dengan pemain paling muda adalah Amadou Onana berusia 21 tahun, sementara dua pemain centreback mereka iaitu Toby Alderweireld dan Jan Vertonghen masing-masing berusia 33 dan 35 tahun.

Manakala dua tonggak yang diharap mampu mencipta sesuatu iaitu Eden Hazard dan De Bruyne pula berusia 31 tahun dan kedua-dua mereka gagal melakukan ‘magis’ seperti yang diharapkan.

Belgium melakukan lima pertukaran dengan memasukan Romelu Lukaku, Youri Tielemans, Dries Mertens, Leandro Trossard dan Charles De Ketelaere juga tidak memberi sebarang impak.

Kemasukkan Lukaku (29 tahun) yang baru pulih daripada kecederaaan sememangnya dinanti-nanti oleh peminat tetapi prestasi beliau bukan tidak tahap terbaik seperti Lukaku yang dahulu. Kemasukan seorang lagi penyerang berusia 35 tahun iaitu Mertens juga gagal mencari gol yang dicari-cari.

Ketika ada benar apa yang diperkatakan oleh De Bruyne, namun komen pedasnya itu juga mungkin menjejaskan moral dan keharmonian pasukan.

Martinez juga perlu bertanggungjawab atas prestasi hambar anak buahnya kerana masih bergantung kepada ‘kuda tua’ sedangkan Belgium mempunyai ramai pemain muda berkualiti.

Rasanya sudah tiba masanya mereka mengikut jejak langkah seperti Sepanyol yang berani mempertaruhkan pemain generasi muda dan ia semakin membuahkan hasil.

Bukan sahaja pertukaran pemain perlu dilakukan, mungkin ketua jurulatih juga perlu ditukar bagi memberi nafas baru buat skuad Belgium.