Dari liga divisyen 2 kini ke Piala Dunia, gol Niclas Fullkrug mungkin jadi kunci kemaraan Jerman!

553

Gol penting yang dijaringkan oleh Niclas Fullkrug untuk memastikan Jerman berjaya mengikat Sepanyol 1-1 pada perlawanan kedua Kumpulan E untuk kempen Piala Dunia 2022 Qatar telah menjadi perhatian ramai.

Ini kerana ramai yang tidak mengenali Fullkrug apabila beliau di masukkan pada minit ke-70 menggantikan penyerang legenda, Thomas Muller dan pemain berusia 29 tahun itu tidak mengecewakan apabila menjaringkan gol penting buat pasukan sekaligus memberi talian hayat buat Jerman.


Bercerita lanjut mengenai latar belakang pemain Werder Bremen ini, musim lalu beliau beraksi di liga Bundesliga 2 yang mana beliau memulakan karier bola sepak profesional bersama skuad simpanan Werder Bremen.

Namun apabila beliau berjaya membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama di Bundesliga, beliau telah dipinjamkan ke kelab di divisyen dua iaitu Greuther Furth selama semusim, kemudian ke FC Nurnberg, Hannover 96 sebelum akhirnya pulang ke Werder Bremen pada musim 2019/20.

Beliau boleh dikatakan pemain yang mencapai kemuncak kerjaya lewat, namun kehebatannya telah berjaya membawa Werder Bremen kembali beraksi di liga utama di Jerman untuk musim 2022/23.

Malah musim ini beliau dalam persaingan merebut trofi Kasut Emas Bundesliga apabila berada di kedudukan kedua penjaring terbanyak dengan 10 gol, dua gol dibelakang penjaring terbanyak ketika ini iaitu Christopher Nkunku dari RB Leipzig.

Kehebatan Fullkrug ini turut mendapat perhatian penjaring terbanyak dalam sejarah Jerman iaitu Miroslav Klose yang memuji kemampuan pemain itu dan berkata Fullkrug mampu menggantikan tempatnya.

Tambah Klose lagi, Fullkrug seorang pemain yang mempunyai fizikal kuat, laju dan tangkas menjadikan pemain itu sebagai penyerang yang cukup berbisa.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jerman Hansi Flick juga meletakkan kepercayaan tinggi kepada pemain itu sejak menjaringkan gol kemenangan ketika dimasukkan pada separuh masa kedua ketika perlawanan pemanas badan menentang Oman baru-baru ini.

Susulan itu, Flick telah memberikan jersi nombor sembilan kepada beliau sekaligus membuktikan bahawa beliau percaya dengan kemampuan Fullkrug.

Semua sedia maklum jersi nombor sembilan adalah jersi untuk penyerang utama sesebuah pasukan dan sesiapa yang menyarung jersi nombor tersebut merupakan penjaring prolifik dalam pasukan.

Sementara itu, Jerman kini berada di tangga terakhir dalam Kumpulan E dengan mengutip satu mata selepas dua perlawanan apabila mereka tewas mengejut kepada Jepun 2-1 pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun mereka masih lagi berpeluang untuk mara ke peringkat pusingan 16 pasukan terbaik jika mereka menang menentang Costa Rica pada perlawanan terakhir nanti, sambil mengharapkan Jepun tewas di tangan Sepanyol.

Jerman bukan sahaja wajib menang ke atas Costa Rica, tetapi mereka juga perlu bergantung kepada keputusan perlawanan di antara Jepun dan Sepanyol.

Ini kerana jika Jepun dan Sepanyol seri, Jerman akan berkongsi empat mata bersama Jepun dan jika mereka mahu layak, mereka perlu jaringkan sekurang-kurangnya dua gol.

Jika Sepanyol menang, Jerman akan layak, tetapi jika Jepun sekali lagi buat kejutan tewaskan Sepanyol, Jerman akan berkongsi mata dengan Sepanyol dan ini akan membuatkan tugas mereka lebih sukar kerana mereka perlu menang dengan jumlah jaringan cukup besar iaitu lapan gol.

Dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku, jadi sama-sama kita tunggu perlawanan terakhir kumpulan nanti.