Hadi Fayyadh tak cemburu dengan pemain sebaya sudah beraksi dengan skuad utama sedangkan beliau masih bersama skuad B-23

828

Pemain pasukan kebangsaan B-23, Hadi Fayyadh memberitahu beliau tidak pernah berasa cemburu atau iri hati dengan pencapaian rakan sepasukannya dalam skuad B-23 kini diserap ke skuad utama di bawah kendalian Kim Pan-gon, sementara beliau masih kekal di skuad sama.

Menurut Hadi, beliau akui rezekinya untuk bermain bersama skuad utama masih belum sampai masa dan beliau akan terus berusaha keras untuk mencapai impiannya itu.


“Saya tidak rasa cemburu sangat. Bagi saya apa yang saya lakukan adalah untuk jadi lebih bekerja keras untuk dapatkan tempat dalam skuad utama,”

katanya.

Hadi adalah salah seorang pemain daripada 24 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih E. Elavarasan untuk menyertai kem latihan pusat yang bermula semalam 27 November dan akan berakhir pada 6 Disember ini.

Kem latihan itu dijalankan sebagai persiapan untuk mengharungi beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Piala AFF B-23 2023, Sukan SEA 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Mengakui pemain yang dipanggil kali ini banyak pemain baru, Hadi berharap dalam tempoh singkat kem latihan ini beliau dan rakan sepasukan dapat mencari keserasian dan persefahaman supaya dapat bentuk skuad yang ampuh.

“Saya harap dengan pasukan ini adalah untuk semua pemain dapat dengar segala pecaturan ketua jurulatih supaya dapat sesuaikan dan buat yang terbaik untuk pasukan.

Baru dua hari dan masih banyak yang perlu dilakukan tapi dengan apa yang saya lihat hari ini adalah perkembangan yang baik, jadi saya harap kita akan dapat teruskan untuk tunjuk lebih perkara positif dan saya yakin dengan apa yang kita ada sekarang ini kita dapat bentuk sebuah skuad yang bagus.”

Beliau pada masa sama turut berharap setiap pemain dalam skuad ini dapat menanam azam untuk memperoleh kejayaan dalam kejohanan yang disertai mereka nanti.

Dalam pada itu, Hadi yang beraksi dengan kelab J-League 2, Fagiano Okayama telah dipinjamkan ke kelab Azul Claro yang beraksi di J-League 3, enggan fikir soal kembali pulang ke Malaysia untuk bermain di Liga Malaysia.

“Bagi saya peluang dan rezeki ada di mana-mana. Kalau dikatakan rezeki saya di Malaysia mungkin saya pulang, tapi buat masa ini saya hanya fokus berada di Jepun dan buat nama saya di sana kerana saya masih belum puas hati dengan apa yang capai sekarang ini. Satu hari nanti, saya akan dapat apa yang saya kejar.

Saya juga masih lagi mempunyai kontrak selama beberapa tahun lagi di Jepun, oleh sebab itu saya akan teruskan perjalanan saya di sana dan buat yang terbaik.”