Ramalan Samuel Eto’o masih betul, Cameroon belum tersingkir dari Piala Dunia

310

Nampaknya ramalan yang dilakukan oleh legenda Cameroon, Samuel Eto’o mengenai peluang The Indomitable Lions untuk mencipta kejayaan di Piala Dunia 2022 Qatar masih lagi belum tersasar apabila mereka berjaya mengikat Serbia 3-3 dalam perlawanan kedua Kumpulan G sebentar tadi.

Walaupun pada satu ketika ketinggalan 1-3, namun pemain Cameroon telah mempamerkan semangat perjuangan yang cukup tinggi sehingga berjaya menyamakan kedudukan sekaligus berjaya mencuri satu mata penting.


Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Rigobert Song masih lagi berpeluang untuk mara ke peringkat pusingan 16, tetapi berdepan tugas sukar apabila mereka perlu pastikan mereka tewaskan favourite Brazil pada perlawanan terakhir kumpulan.

Terdahulu, Eto’o yang juga merupakan Presiden Konfederasi Bola Sepak Cameroon telah meramal bahawa pasukannya mampu menjulang Piala Dunia.

Walaupun ramai yang mempertikai ramalan yang dibuat oleh Eto’o, namun ada juga yang bersetuju kerana latar belakangnya sebagai bekas pemain bintang dunia termasuk motivasinya terhadap pasukan dari Afrika terutamanya pasukannya.

Tidak dapat dinafikan pasukan dari Afrika sering menjadi pasukan ‘underdog’ berikutan keputusan semasa, ranking dunia dan juga kebarangkalian mereka menang ke atas pasukan besar.

Dalam ramalan Eto’o yang pernah beraksi di Piala Dunia sebanyak empat kali turut menyatakan bahawa Morocco akan mara ke perlawanan akhir, dan melihat kepada prestasi Morocco dalam kempen kali ini mereka mempunyai peluang untuk melangkah lebih jauh, tapi masuk ke final itu memang cerita lain.

Dalam pada itu, pengendali Cameroon, Song tidak melihat ramalan yang dilakukan oleh presiden Konfederasi Bola Sepak Cameroon itu memberi anak buahnya tekanan.

Song dalam kenyataan media baru-baru ini berkata Eto’o seorang yang sangat cintakan bola sepak dan beliau sendiri hidup dengan bola tetapi tidak pernah beliau meletakkan beban atau tekanan kepada jurulatih dan pemain.

Sebelum perlawanan dengan Serbia, timbul sedikit masalah dalam kem Cameroon apabila Song mengambil tindakan drastik untuk menggugurkan penjaga gol utama, Andre Onana selepas kedua-dua mereka bertengkar apabila Song berang dengan corak permainan Onana tetapi beliau langsung tidak boleh terima kritikan tersebut.

Bagaimanapun kemelut itu sedikit pun tidak menjejaskan keharmonian pasukan, malah setiap pemain sangat bermotivasi dan ini mungkin satu tonik baru untuk Cameroon sebelum bertemu Brazil.