Adakah Portugal akan beri talian hayat buat Korea Selatan selepas mereka layak ke Pusingan 16?

453

Sebentar tadi Portugal menjadi pasukan ketiga yang telah mengesahkan tempat ke Pusingan 16 selepas menewaskan Uruguay 2-0 pada perlawanan kedua Kumpulan H Piala Dunia 2022 Qatar.

Kedua-dua pasukan bermula dengan agak perlahan dengan masing-masing bermain secara berhati-hati dan separuh masa pertama berakhir dengan tanpa jaringan.


Bagaimanapun masuk separuh masa kedua, Portugal dan Uruguay mula mengatur langkah dengan melakukan serangan untuk memecah kebuntuan.

Pada minit ke-54 percubaan dari jarak jauh Bruno Fernandes telah berjaya menerjah jaring sekaligus membuat pasukan lawan tersentap. Cubaan pasukan dari Amerika Selatan itu cuba bangkit tetapi diranapkan sekali lagi apabila Portugal dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-90+3 yang disempurnakan oleh Fernandes dan menjadi gol kemenangan bergaya mereka pada pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Portugal membalas dendam atas kekalahan mereka 2-1 kepada Uruguay pada pusingan 16 di Piala Dunia 2018 Rusia.

Selepas mengesahkan tempat mereka ke peringkat seterusnya, ketua jurulatih Fernando Santos dijangka akan merehatkan ramai tonggak utamanya seperti Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes, Diogo Costa dan beberapa lagi pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan.

Jika Santos berbuat demikian, ia akan memberi tempoh rehat yang lebih kepada pemain-pemain ini untuk kembali cergas 100% dan bersedia untuk menghadapi perlawanan di pusingan 16 nanti.

Situasi ini mungkin dilihat seperti Portugal memberi talian hayat buat pasukan Korea Selatan berikutan pasukan dari Asia itu memerlukan kemenangan sekiranya mereka mahu melepasi peringkat kumpulan.

Walaupun tewas, Uruguay juga masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan 16 sekiranya dapat menewaskan Ghana pada perlawanan terakhir nanti kerana pasukan dari Afrika itu kini berada di kedudukan kedua dengan tiga mata.

Sekiranya Korea Selatan dan Uruguay menang dalam perlawanan terakhir mereka, kedua-dua pasukan akan terikat dengan empat mata dan perbezaan jumlah jaringan akan memainkan peranan untuk menentukan siapa yang layak ke pusingan 16.

Dalam pada itu, sebelum pertembungan antara kedua-dua pasukan ini telah timbul isu apabila pemain Uruguay iaitu Edinson Cavani yang ketika itu bermain untuk Manchester United telah mengeluarkan kenyataan tidak puas hati dengan menuduh Ahli Lembaga kelab itu mungkir janji dengannya apabila menandatangani Ronaldo.

Susulan itu, Cavani telah ambil keputusan untuk berhijrah ke Valencia dan ini sedikit sebanyak mencetuskan permusuhan di antara Cavani dan Ronaldo sebelum perlawanan.

Bagaimanapun Ronaldo telah membuktikan dirinya lebih baik apabila membawa pasukannya tewaskan pasukan Cavani sebentar tadi.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai pertembungan antara Portugal dan Korea Selatan pada 2 Disember ini, kedua-dua pasukan ini pernah bertembung dalam satu perlawanan pada Piala Dunia 2002 yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Korea Selatan (1-0) hasil jaringan Park Ji-sung.

Ketika itu Ronaldo masih belum berada dalam skuad kebangsaan Portugal sebaliknya ketika itu mereka diwakili bekas pemain lagenda seperti Luis Figo, Pauleta, Rui Costa, Petit, Joao Pinto dan ramai lagi.

Manakala Korea Selatan pula ketika dibarisi pemain seperti Park Ji-sung, Ahn Jung-hwan, Kim Nam-il dan ramai lagi.

Rekod terbaik Portugal dalam kempen Piala Dunia adalah menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 1966 dan tempat keempat pada Pala Dunia 2006.

Pada tahun 2016 Portugal telah mencipta sejarah apabila akhirnya berjaya menjulang trofi EURO sekaligus mengubati kekecewaan mereka tewas di pentas akhir pada EURO 2004 di tangan Greece.