Halim Saari beri petanda bakal tinggalkan Selangor FC, destinasi seterusnya jadi tanda tanya

616

Naib juara Piala Malaysia 2022, Selangor FC bakal membuat rombakan besar-besaran musim hadapan selepas dikhabarkan akan melepaskan sebilangan besar pemain seperti import mereka, Herlison Caion, Safuwan Baharudin, Baha’a Abdulrahman, Hyuri, Yazan Al-Arab serta Shahrel Fikri.

Selain individu-individu ini, ada satu lagi nama yang berkemungkinan besar akan turut berpisah dengan kelab tersebut selepas tidak dapat beraksi sejak dua musim kebelakangan ini.


Beliau adalah pemain tengah, Halim Saari yang dilihat seakan memberi petanda bakal meninggalkan pasukan menerusi hantaran terbaru yang dimuat naik oleh beliau dalam akaun Instagram peribadinya.

Perkara ini menimbulkan tanda tanya tentang destinasi seterusnya buat beliau sekiranya benar-benar meninggalkan pasukan Lembah Klang tersebut.

Tidak mustahil beliau berpeluang untuk kembali untuk bersama negeri kelahirannya, Kedah Darul Aman FC pada musim depan.

Tahun 2018 merupakan antara musim terbaik buat pemain ini bersama skuad Hijau Kuning selepas diserap masuk pada dua tahun sebelumnya dari skuad B-21 negeri tersebut.

Momentum kecemerlangan yang sama berjaya dipamerkan oleh beliau ketika mula menyertai pasukan Selangor dan berjaya menjadi pemain utama Selangor selepas berpindah masuk pada hujung tahun 2018.

Malang tidak berbau, kecemerlangan beliau terjejas selepas menghadapi kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kanannya pada aksi awal Liga Super 2021.

Kecederaan ini sedikit sebanyak membantut perkembangan karier Halim yang sedang meningkat naik dan menjadi antara sandaran utama kelab Gergasi Merah pada ketika itu.

Lebih malang, kecederaan yang dihadapi pada 2021 merupakan kali kedua buat Halim yang turut menghadapi masalah sama pada empat tahun sebelumnya ketika beraksi bersama pasukan Kedah FA.

Halim ditimpa kecederaan tersebut sewaktu aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang pasukan Terengganu yang berkesudahan dengan kemenangan tipis 1-0 jaringan Farhan Roslan.

Pemain berusia 28 tahun ini cukup terkenal dengan ketenangan beliau mengawal bahagian tengah pasuka serta kemampaun melakukan hantaran jauh yang tepat ke bahagian serangan.

Kali terakhir Halim beraksi bersama pasukan utama Selangor adalah pada saingan Liga Super musim lepas dalam perlawanan menentang Terengganu FC yang berkesudahan dengan kekalahan besar 3-0 di tempat lawan.

Pada April lalu, beliau diberikan peluang untuk beraksi sekurang-kurangnya 45 minit bersama skuad Selangor FC II pada dua perlawanan Liga Perdana bertemu Perak FC serta PDRM FC untuk kembali mendapatkan rentak.

Dengan lambakan pemain tengah muda berkualiti seperti Mukhairi Ajmal, Alex Agyarkwa dan Syahir Bashah yang dimiliki oleh Selangor ketika ini mungkin menyukarkan Halim untuk merebut tempat pada musim hadapan.

Jadi lebih baik buat beliau mula mencari pasukan lain yang dapat memberikannya peluang dan minit permainan yang lebih banyak bagi mengembalikan prestasinya semula.

Antara pasukan lain yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh beliau adalah pendatang baru Liga Super musim depan seperti PDRM FC dan Kelantan FC yang amat memerlukan seorang pemain berpengalaman dalam membantu memperkuatkan pasukan.

Halim pernah dipanggil oleh Tan Cheng Hoe selaku pemain pasukan kebangsaan pada tahun 2019 sewaktu bersaing di kejohanan Piala Airmarine.

Beliau telah beraksi pada perlawanan separuh akhir menentang Singapura yang berakhir dengan kekalahan tipis 1-0.

Semoga Halim dapat meraih semula peluang untuk beraksi dengan lebih kerap dan membuktikan kemampuannya di atas padang dalam masa terdekat.