Penang FC terus menyepi, tiada apa perkembangan untuk jurulatih dan pemain musim depan

615

Pasukan Liga Super, Penang FC terus berdiam diri tanpa menunjukkan sebarang perkembangan yang telah dilakukan bagi mempersiapkan pasukan bagi saingan musim hadapan.

Setakat ini, masih belum ada apa-apa pengumuman rasmi yang telah dilakukan oleh kelab tersebut berkenaan ketua jurulatih mahupun urusan jual-beli pemain meskipun saingan Liga Malaysia sudah melabuhkan tirai.


Jelas perkara ini menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat setia pasukan Harimau Kumbang yang semestinya ingin melihat berlakunya perubahan dalam membentuk sebuah pasukan yang jauh lebih berkualiti pada tahun depan.

Terdahulu, Penang boleh dikatakan telah melalui musim yang cukup hambar selepas mengakhiri saingan liga musim ini di tangga tercorot dengan hanya berjaya mencatatkan dua kemenangan daripada 22 perlawanan keseluruhan.

Pencapaian terbaik mereka musim ini hanyalah sewaktu layak ke peringkat separuh akhir Piala FA sebelum dimalukan oleh Johor Darul Ta’zim FC dengan kekalahan besar 6-1.

Menuju ke penghujung saingan Liga Super, mereka difahamkan telah melepaskan khidmat jurulatih berpengalaman, Dato’ Zainal Abidin yang telah mengendalikan pasukan sepanjang musim 2022.

Tempat tersebut diganti oleh ketua jurulatih interim, Manzoor Azwira yang mula mengambil tanggungjawab secara rasmi pada perlawanan terakhir Liga Super menentang Selangor FC dan disambung pada saingan Piala Malaysia.

Dengan prestasi hambar yang ditunjukkan oleh pasukan di saingan Piala Malaysia, Manzoor dilihat tidak akan kekal memegang jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan.

Ada khabar angin yang mengaitkan kemasukan jurulatih baru namun sehingga ke hari ini masih belum ada kepastian terhadap perkembangan tersebut.

Dalam pada itu, pasukan tersebut juga terus berdiam diri tanpa sebarang perkhabaran terbaru tentang kemasukan mana-mana pemain baru bagi memperkuatkan kelab musim depan.

Mereka telah kehilangan khidmat penyerang import, Hilal El-Helwe yang meninggalkan pasukan sebelum Piala Malaysia bermula.

Hilal cemerlang musim ini selepas berjaya menjaringkan lima gol daripada 19 penampilan Liga Super serta menghasilkan dua bantuan jaringan.

Selain daripada jurulatih, mereka juga perlu mula mencari pemain berkualiti selepas difahamkan beberapa pemain import seperti Lucas Espindola dan Endrick dos Santos sudah mula dipancing oleh kelab lain.

Pada masa yang sama, ketidaktentuan ini turut akan memberi kesan kepada masa depan beberapa pemain muda yang beraksi buat pasukan tersebut musim ini.

Antaranya adalah pemain tengah, Ariff Ar-Rasyid yang kini berumur 24 tahun serta sayap, Adib Raop 24 tahun.

Selain beraksi di bahagian tengah, Ariff juga mampu bermain dengan baik sekiranya diletakkan di bahagian pertahanan.

Daripada 17 aksi Liga Super musim ini, beliau telah menggalas tanggungjawab sebagai pertahanan tengah pasukan sebanyak tiga kali.

Adib juga merupakan seorang pemain versatil tatkala beliau mampu beraksi di bahagian pertahanan kiri dengan baik.

Aksi berkualiti yang dipamerkan oleh Adib telah membantu pasukan Penang untuk melakukan kejutan termasuk sewaktu mencatatkan kemenangan menentang naib juara Liga Super, Terengganu FC pada aksi yang berlangsung Jun lalu.

Kedua-dua pemain ini mempunyai potensi besar dan mampu menjadi prospek untuk masa depan yang lebih buat Penang.

Walaupunbegitu, tidak mustahil sekiranya mereka bakal mengangkat kaki meninggalkan pasukan sekiranya diintai oleh kelab lain yang lebih memerlukan khidmat mereka.

Pihak pengurusan perlu segera mengambil tindakan dalam usaha melakukan transformasi sebelum bermulanya musim hadapan bagi usaha mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Penang dapat direalisasikan dengan baik.

Haria Penang Haria!