Rusia nyatakan hasrat sertai AFC, peluang pasukan Asia Tenggara dan Malaysia ke Piala Dunia semakin kecil

769

Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU) dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menukar keahliannya daripada Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kepada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).

Ketika ini, pasukan kebangsaan dan kelab dari Rusia digantung daripada mengambil bahagian dalam sebarang pertandingan UEFA dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan pencerobohan terhadap Ukraine.


Presiden RFU, Alexander Dyukov memberitahu perkara itu dengan berkata bahawa pihaknya akan mempertimbangkan dalam mesyuarat lembaga eksekutif kelak.

Walaupun tidak dibenarkan menyertai kejohanan yang dianjurkan FIFA dan UEFA, Rusia telah mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan tiga negara Asia pada bulan ini iaitu Kyrgyzstan, Taijikistan dan Uzbekistan

Dari sudut geografi, Rusia sememangnya ‘layak’ untuk menyertai AFC kerana sebahagian daripada negara itu terletak di benua Asia.

Namun, sekiranya Rusia betul-betul menyertai AFC, mungkin ia perkara yang tidak digemari oleh kebanyakan negara Asia.

Ini kerana, tahap bola sepaknya lebih hebat daripada majoriti negara Asia dan akan memberi kelebihan kepada pasukan itu dalam kejohanan besar seperti Piala Asia dan slot ke Piala Dunia.

Berdasarkan ranking FIFA, hanya tiga negara di bawah AFC yang berada lebih tinggi dari Rusia (33) iaitu Iran (20), Jepun (24) dan Korea Selatan (28).

Australia, Qatar dan Arab Saudi yang ketika ini beraksi dalam Piala Dunia juga mempunyai ranking yang lebih rendah daripada Rusia.

Dengan itu, Rusia secara automatik bakal dianggap sebagai gergasi Asia apabila menyertai AFC.

Dengan format baru Piala Dunia bermula 2026 yang menyaksikan pertambahan pasukan daripada 32 kepada 48 pasukan, negara Asia Tenggara dilihat mempunyai peluang untuk beraksi di kejohanan itu kerana Asia diberikan 8.5 slot dengan 8 automatik dan 0.5 merujuk kepada play-off berbanding ketika ini iaitu 4.5 slot (0.5 play-off).

Namun harapan itu mungkin akan lebih sukar sekiranya negara besar seperti Rusia turut bertanding di bawah AFC.

Untuk rekod, Rusia dilarang daripada beraksi dalam kelayakan Piala Dunia manakala kelab tempatan, Spartak Moscow disingkirkan dari saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Terdahulu, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah menolak rayuan yang difailkan oleh RFU terhadap keputusan UEFA dan FIFA untuk menggantung mereka.