Dimalukan di Piala Dunia, awas dengan Qatar yang cedera di Piala Asia 2023!

350

Tamat sudah perjalanan Qatar dalam kempen Piala Dunia 2022 yang berlangsung di halaman sendiri apabila mereka tersingkir selepas menduduki tanggan tercorot dalam Kumpulan A.

Qatar juga menjadi tuan rumah pertama yang kalah dalam ketiga-tiga perlawanan apabila hanya berjaya menjaringkan satu gol dan bolos sebanyak tujuh gol.


Mereka memulakan kempen Piala Dunia dengan langkah kiri apabila tewas 2-0 di tangan Ecuador pada perlawanan pertama.

Tuan rumah cuba bangkit pada perlawanan kedua menentang Senegal tetapi impian mereka tidak kesampaian apabila kalah 3-1, sekaligus menjadi pasukan pertama yang tersingkir dari Piala Dunia walaupun masih mempunyai baki satu perlawanan.

Perlawanan terakhir Qatar pada malam tadi menentang Netherlands sekali lagi menyaksikan Qatar gagal untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila tewas 2-0.

Kegagalan di Piala Dunia tidak akan mematahkan semangat Qatar dan sudah pasti anak buah Feliz Sanchez akan kembali bangkit dan buktikan bahawa mereka adalah pasukan elit di Asia pada tahun hadapan.

Ini kerana pada tahun hadapan, Qatar akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan berprestij Asia iaitu Piala Asia 2023.

Bermain di tempat sendiri ditambah dengan gelaran juara bertahan pada edisi 2019, sudah pasti Qatar tidak mahu sekali lagi mengecewakan peminat sendiri terutamanya Presiden Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) iaitu Sheikh Hamad Bin Khalifa Bin Ahmed Al-Thani.

Walaupun Qatar layak ke Piala Dunia 2022 secara automatik menerusi tiket tuan rumah, namun mereka sebenarnya telah membuat persiapan yang cukup lama iaitu lebih sedekad bagi mempersiapkan pasukan untuk kejohanan berprestij dunia ini.

Pada tahun 2004, Qatar telah menaturalisasikan pemain luar negara untuk bermain dalam pasukan kebangsaan mereka seperti Sebastian Soria dan Luiz Martin Carlos Junior, dan pada masa sama QFA juga cuba menaturalisasikan tiga pemain Brazil iaitu Ailton, Dede dan Leandro tetapi tidak berjaya apabila Konfederasi Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menghalang tindakan itu dengan mengetatkan kriteria proses naturalisasi pemain.

Untuk skuad Piala Dunia ini, Qatar mempunyai kira-kira 10 pemain naturalisasi termasuk penjaring tunggal Qatar di Piala Dunia iaitu Mohammed Muntari (Ghana), Almoez Ali (Sudan), Ali Asad (Bahrain), Salem Al-Hajri (Bahrain), Karim Boudiaf (Perancis) dan beberapa lagi.

Walaupun mempunyai pemain naturalisasi, namun ia tidak bermakna Qatar mengabaikan pembangunan bola sepak mereka, sebaliknya pada tahun 2004 mereka telah menubuhkan Aspire Academy dengan objektif untuk mencari dan melatih bakat dalam bola sepak dan sukan lain.

Akademi bernilai £1bilion (sekitar RM4.6 bilion) telah mengambil 5,000 pemain berusia 11 tahun setiap tahun yang mana mereka yang mempunyai potensi akan diberi geran yang mana mereka akan tinggal di situ selama tujuh tahun untuk dilatih termasuk mendapat pendidikan terbaik.

Ketika itu Aspire Academy telah melantik jurulatih yang mempunyai latar belakang terbaik di Eropah iaitu Felix Sanchez (kini ketua jurulatih pasukan Qatar) yang ketika itu merupakan jurulatih remaja di akademi terkenal di Barcelona.

Sejak dari itu, Qatar telah memperoleh pelbagai kejayaan seperti Piala Asia 2019, Gulf Cup pada 2004 & 2014, WAFF Championship 2014 dan Sukan Asia 2006.

Dalam pada itu, tempoh setahun lebih yang ada selepas Piala Dunia pastinya akan digunakan sebaik mungkin oleh Qatar untuk kembali membentuk skuad yang lebih ampuh termasuk mendapat pemain lebih berkualiti.

Pada masa sama, jodoh Sanchez bersama skuad The Maroon juga berkemungkinan akan berakhir tidak lama lagi dan sudah ada nama ketua jurulatih baru yang pernah dikaitkan untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Qatar iaitu bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Antara nama lain yang berpotensi untuk mengambil alih tugas berat ini, juga termasuk legenda Sepanyol dan ketua jurulatih Barcelona ketika ini, Xavi Hernandez kerana beliau sudah arif dengan bola sepak Asia Barat berikutan pernah mengendalikan kelab Al-Sadd.

Mungkin juga Mauricio Pochettino yang tengah menganggur selepas dipecat oleh PSG musim lepas.

Dalam pada itu, sekiranya pasukan kebangsaan Malaysia diundi dalam kumpulan bersama Qatar di Piala Asia, ia akan menjadi satu ujian yang cukup baik untuk melihat sejauh mana kemampuan anak didik Kim Pan-gon apabila menentang pasukan-pasukan elit Asia.

Ini kerana jika mahu menjadi sebuah pasukan yang hebat, Harimau Malaya perlu menentang dengan pasukan terbaik di rantau ini, walaupun sebelum ini kita mempunyai rekod yang kurang baik apabila menentang pasukan dari Asia Barat.

Selepas penarikan diri negara China sebagai tuan rumah, Qatar telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Piala Asia 2023, namun sehingga kini masih tiada sebarang pengesahan mengenai bilakah kejohanan itu akan berlangsung.

Mengikut jadual asal, kejohanan itu dijadualkan berlangsung dari 16 Jun hingga 16 Julai 2023, tetapi memandangkan cuaca di Qatar ketika itu panas, ia besar berkemungkinan akan dianjak kepada bulan November (seperti Piala Dunia 2022) atau pun pada Disember atau Januari 2024 di mana ketika itu cuaca lebih elok.

Sebanyak 24 pasukan akan diundi dalam enam kumpulan dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak secara automatik ke peringkat kalah mati.

Bagaimanapun peluang untuk pasukan yang berada di tangga ketiga masih ada apabila empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga daripada enam kumpulan akan turut layak ke peringkat kalah mati.

Pada edisi 2019, Qatar telah menewaskan Jepun 3-1 dalam perlawanan akhir untuk berjaya menjulang trofi Piala Asia buat pertama kali.

Penyerang sensasi Qatar, Almoez Ali berjaya merangkul trofi Kasut Emas apabila menjaringkan sembilan gol dan turut dinobat sebagai Pemain Terbaik kejohanan itu. Manakala Saad Al-Sheeb juga dinobat sebagai Penjaga Gol Terbaik.