Iran tersingkir dari Piala Dunia 2022 akibat tekanan kerajaan? Ini bukan aksi sebenar mereka

2,538

Berakhir sudah kempen Piala Dunia 2022 Qatar buat gergasi Asia, Iran apabila tersingkir selepas tewas tipis 1-0 kepada USA dalam perlawanan terakhir Kumpulan B pagi tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung dengan begitu rancak sekali, kedua-dua pasukan mula melancarkan serangan sebaik wisel pertama dibunyikan, namun gol hanya hadir pada minit ke-38 menerusi jaringan Christian Pulisic untuk memberi kelebihan buat USA pada separuh masa pertama.


Masuk separuh masa kedua, Iran mula menaikkan tempo permainan mereka untuk cuba menyamakan kedudukan menerusi rantaian serangan tetapi masih lagi gagal menjaringkan gol dan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Berdasarkan ranking, Iran merupakan pasukan terkuat dari Asia apabila menduduki ranking ke-20 dunia, manakala USA pula berada di ranking ke-16 dunia.

Pasukan yang diberi jolokan Team Melli sebenarnya berpeluang untuk mara ke peringkat Pusingan 16 berikutan berada dalam kumpulan yang boleh dikatakan ‘tidaklah sukar’ bersama England dan Wales.

Adakah prestasi anak buah Carlos Queiroz terjejas akibat pergolakan yang berlaku di negara mereka ketika ini?

Ini kerana pemain Iran ‘tersepit’ dalam konflik yang sedang berlaku sebelum mereka terbang ke Qatar lagi apabila ada sekumpulan aktivis anti-kerajaan menggelar mereka sebagai patung kerajaan, malah ada pihak yang menyeru FIFA (Konfederasi Bola Sepak Dunia) untuk melarang Iran dari menyertai Piala Dunia.

Bagaimanapun pada perlawanan pertama menentang England, pemain Iran telah mendapat perhatian dunia apabila mereka bertindak untuk tidak menyanyikan lagu negara mereka sebagai tanda solidariti kepada penunjuk perasaan.

Namun tindakan mereka itu membuatkan pihak kerajaan Iran berang dan dikhabarkan telah memberi amaran keras dan mengarahkan semua pemain menjalankan tugas patriotik mereka pada perlawanan kedua menentang Wales yang mana ketika itu berjaya menang 2-0.

Kesemua pemain Iran dikatakan beraksi dalam keadaan tertekan apabila ada khabar angin yang mendakwa pihak kerajaan telah membuat ugutan kepada keluarga pemain sekiranya mereka masih enggan menyanyikan lagi kebangsaan.

Tekanan yang diberikan kepada pemain di saat pasukan Iran bakal berdepan perlawanan penting ternyata telah memberi impak kepada aksi mereka di atas padang.

Sudah pasti motivasi dan moral pemain hilang dek ugutan yang diterima oleh keluarga mereka kerana bimbang sesuatu tidak diingini akan berlaku.

Dengan apa yang berlaku ini adakah adil untuk menyalahkan pemain atas kegagalan mereka di Piala Dunia? Pemain kini juga tidak pasti apa yang akan berlaku kepada mereka apabila mereka pulang ke negara mereka nanti. Mungkin akan menjadi lebih teruk atau sebaliknya.

Apa yang berlaku kepada pasukan Iran adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Sukan dan politik atau sebarang agenda yang tidak berkaitan dengan dunia bola sepak tidak patut bercampur kerana sukan itu menyatukan semua dan bukannya memecah belahkan masyarakat.