Kelab Liga Super harus ambil pengajaran dari Lion City Sailors, jangan berbelanja ikut nafsu dan ukur baju di badan sendiri

941

Sejak diambil alih oleh bilionair tempatan, Forrest Li yang merupakan pengasas syarikat teknologi gergasi, Sea Limited, pada Februari 2020, Lion City Sailors telah melalui pelbagai perubahan dengan jumlah pelaburan yang besar telah dikeluarkan oleh pemilik baru.

Antara kejayaan yang telah diperolehi sepanjang tempoh tersebut sehingga kini adalah memenangi SPL pada 2021 dan juga Perisai Komuniti tahun ini.


Di peringkat Asia pula, kelab itu layak ke kejohanan AFC Champions League (ACL) tahun ini namun tersingkir di peringkat kumpulan.

Menurut media tempatan, Sea Limited mengalami kerugian sebanyak USD150 billion (RM671.3 bilion) melalui dua syarikat utamanya, Shopee dan Garena pada 2021.

Justeru, kelab itu ketika ini dilaporkan berdepan dengan isu kewangan dan sedang merombak kembali skuad untuk musim depan dengan bajet yang lebih rendah.

Baru-baru ini, mereka telah pun melepaskan beberapa pemain tonggak Gabriel Quak, Faris Ramli, Shahdan Sulaiman dan Hassan Sunny, serta beberapa pegawai pasukan.

Tahun lalu, kelab itu mencatat sejarah yuran perpindahan Singapore Premier League (SPL) apabila menandatangani pemain tengah Brazil, Diego Lopes dengan harga USD2.9 juta (RM9.5 juta).

Untuk konteks, rekod perpindahan bagi SPL sebelum itu adalah sebanyak USD50,000 (RM163,932).

Kelab itu juga melancarkan akademinya sendiri pada 2020 dan mengumumkan pembinaan fasiliti latihan baru dengan kos sebanyak USD10 juta (RM32.79 juta).

Manakala perbelanjaannya untuk semusim dilaporkan sebanyak USD7 juta (RM22.96), jauh melebihi kelab-kelab SPL lain iaitu kira-kira USD1 juta (RM3.25 juta).

Walaupun mempunyai pemilik berstatus bilionair, ia tidak menjamin kelangsungan kelab itu dari segi kewangan.

Perkara yang terjadi kepada kelab itu seharusnya dijadikan pengajaran kepada kelab-kelab di Malaysia yang tidak pernah lari dari isu kewangan.

Musim ini saja, terdapat beberapa kelab yang berdepan masalah tunggakan gaji sehingga kelayakan bertanding untuk musim depan ditarik.

Musim-musim sebelum ini juga, terdapat banyak kelab yang mengalami masalah sama sampaikan para pemain dilaporkan tidak bergaji sehingga berbulan-bulan walaupun sebelum musim bermula telah melakukan perbelanjaan besar.

Dengan jumlah pasukan meningkat kepada 15 pasukan musim depan (setakat ini) daripada 12 pasukan, perbelanjaan pasukan juga akan semakin meningkat.

Selain itu, kuota import sebanyak sembilan pemain juga dijangka akan dimanfaatkan oleh kebanyakan pasukan untuk bersaing dalam liga.

Namun, setiap pasukan haruslah mengukur baju di badan sendiri kerana apabila berlaku masalah kewangan, bukan sahaja pasukan berkenaan serta pemainnya yang akan terjejas tetapi juga perjalanan liga itu sendiri.

Penstukturan semula Liga Malaysia dilihat mampu membawa bola sepak tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi, tetapi sekiranya pasukan-pasukan yang bertanding masih mengambil mudah soal kewangan dan melakukan perbelanjaan seperti tiada hari esok, usaha berkenaan akan menjadi sia-sia sahaja.

Sedangkan Lion City Sailors yang dimiliki oleh bilionair juga terpaksa merombak kembali perbelanjaannya, apatah lagi pasukan-pasukan di Malaysia yang sebilangannya masih mengharap bantuan daripada kerajaan negeri.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen