Kelab rantau ASEAN sukar lepaskan pemain, perlu ikut pendekatan berani Jepun dan Korea Selatan

835

Sama seperti Malaysia, Vietnam juga turut memiliki masalah yang sama di peringkat kelab tempatan dalam melepaskan pemain-pemain berkualiti beraksi ke luar negara.

Perkara ini dikongsikan sendiri oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan mereka, Park Hang-seo yang sedikit kecewa dengan pendirian kelab-kelab di Vietnam yang tidak ingin melepaskan pemain bagi menimba pengalaman bersama kelab luar.


Perkara ini sedikit sebanyak memperlahankan perkembangan karier pemain tatkala mereka terlalu lama berada di zon selesa dan tidak berkembang.

Kebanyakan kelab di Malaysia juga lebih gemar mengekalkan pemain bagi membantu mereka memenangi saingan domestik.

Seharusnya negara-negara ASEAN mengambil contoh dari tindakan berani kelab di Jepun dan Korea Selatan untuk membenarkan pemain-pemain mereka berkelana ke luar negara.

Hasilnya, kualiti bola sepak mereka sudah berada di tahap yang jauh lebih tinggi meninggalkan negara-negara Asia yang lain.

Kebanyakan pemain-pemain dari dua negara ini cenderung beraksi di kelab sekitar Eropah seperti Jerman, Belgium dan Sepanyol.

Antaranya adalah pemain sayap muda Jepun, Ritsu Doan yang sebelum ini pernah beraksi di Belanda bersama beberapa kelab besar seperti FC Gronigen dan PSV Eindhoven.

Beliau yang kini bermain bersama SC Freiburg telah menjadi antara tunjang utama skuad Piala Dunia Jepun tahun ini dan berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu negara tersebut melakar kejutan ke atas juara Piala Dunia 2018, Jerman pada perlawanan pertama kumpulan.

Korea Selatan juga memiliki lambakan pemain yang berhijrah ke liga besar seperti Sepanyol, England serta Itali dan tindakan ini dilihat memberi pulangan positif kepada negara tersebut.

Pemain Napoli, Kim Min-jae antara yang cemerlang membantu bahagian pertahanan Korea Selatan pada dua aksi Piala Dunia setakat ini.

Kekebalan tersebut membantu mereka mengikat pasukan Uruguay 0-0 pada perlawanan pertama meskipun lawan tersebut dibarisi pemain ternama dunia seperti Luiz Suarez, Rodrigo Bentancur dan Federico Valverde.

Ini adalah hasil daripada usaha yang telah dijalankan sekian lama oleh kedua-dua negara ini dalam mengembangkan potensi pemain tempatan.

Ada beberapa negara rantau Asia Tenggara yang sudah mula mengikuti langkah ini seperti Thailand yang menghantar beberapa pemain utama mereka untuk beraksi di Liga J1 Jepun.

Hasilnya dapat dilihat sejak kebelakangan ini di mana kualiti permainan pasukan negara mereka terlihat meningkat dan berjaya mengekalkan dominasi di peringkat Asia Tenggara.

Indonesia juga sedang mengikuti rapat langkah ini selepas mereka membenarkan beberapa pemain muda yang semakin meningkat naik seperti Pratama Arhan ke Tokyp Verdy di saingan Liga J2 bermula awal tahun ini.

Seorang lagi pemain Garuda, Asnawi Mangkualam kini beraksi bersama Ansan Greeners di Korea Selatan dan mempunyai baki kontrak yang masih panjang sehingga penghujung tahun Disember 2023.

Tidak dapat dinafikan, kedua-dua pemain ini berjaya menjadi antara tunjang utama kebangkitan luar biasa skuad kebangsaan Indonesia sejak kebelakangan ini termasuk dua kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan menentang pasukan ranking lebih tinggi, Curacao September lalu.

Pendekatan ini mungkin boleh dilakukan oleh pemilik-pemilik kelab di Malaysia dalam usahasama bagi terus mempertingkatkan kualiti bola sepak negara.

Dengan lambakan pemain muda berkualiti yang dimiliki oleh negara pada ketika ini, tidak mustahil Malaysia mampu untuk terus menjadi antara nama besar di peringkat ASEAN serta lebih menonjol di Asia.