Saya ketepikan cuti bersama keluarga untuk bantu Malaysia pada Piala AFF – Faisal Halim

1,050

Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim mengakui beliau mengorbankan masa cutinya bersama keluarga semata-mata untuk membantu Malaysia pada kejohanan Piala AFF bulan depan.

Menurutnya, ketua jurulatih, Kim Pan-gon ada menghubunginya untuk bertanya sama ada beliau mahu menyertai skuad kebangsaan kali ini dan beliau tanpa ragu-ragu menyatakan kesediaannya.


“Beliau (Pan-gon) hubungi saya lebih awal dan bertanya sama ada mahu menyertai skuad ini dan saya beritahu bahawa saya mahu kerana ingin membantu Malaysia.

Isteri saya juga menggalakkan saya untuk mewakili negara dan bercuti dengan keluarga selepas tugasan antarabangsa,”

katanya.

Mengenai peranan kapten yang dipertanggungjawabkan kepada beliau, Faisal berkata ia adalah satu tugas yang besar dan bukan untuk dibanggakan, tetapi membuatkan beliau harus bekerja lebih keras untuk membantu pasukan.

Katanya, walaupun tanpa peranan tersebut, beliau sentiasa berusaha untuk membantu ketua jurulatih berhubung dengan pemain di atas padang.

Dalam pada itu, beliau memandang positif kehadiran ramai muka-muka baru pada panggilan kali ini dan menganggap ia peluang yang baik untuk pemain-pemain berkenaan membuktikan kemampuan mereka.

“Dalam kem kebangsaan siapa yang diberi peluang harus buat yang terbaik kerana peluang itu tidak selalu tiba.

Di sini juga tiada istilah senior atau juniar, tiada pemain bintang dan tiada siapa yang lebih daripada pemain lain. Kita tidak mengharapkan kepada satu pemain sahaja, semua bekerja keras untuk bantu pasukan.”

Tambahnya, beliau sedar bahawa jangkaan para peminat terhadap mereka adalah tinggi dan berharap semua pemain mampu berikan yang terbaik untuk membanggakan peminat.

Faisal merasakan bahawa pasukan kebangsaan telah berubah ke arah yang baik di bawah Pan-gon dan percaya sekiranya semua pemain mengikut taktikal dan pelan beliau, Malaysia mampu beraksi dengan baik.

Sementara itu, beliau merasakan bahawa Malaysia harus menang ke atas Kemboja pada perlawanan persahabatan 9 Disember ini kerana ia ibarat petunjuk kepada kemampuan Malaysia pada kempen Piala AFF.