Tolak tawaran River Plate dan Barcelona, TMJ berjaya yakinkan Esteban Solari untuk sertai projek JDT

1,699

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan kembali menerapkan DNA Argentina ke dalam pasukan dengan pembantu jurulatih Argentina B-23, Esteban Solari bakal melatih pasukan itu musim depan.

Perkara itu disahkan oleh pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika bercakap mengenati perubahan dalam kelab itu musim depan.


Menurut TMJ, beliau menepati ciri-ciri jurulatih yang dimahukannya iaitu mempunyai karisma, muda dan dihormati.

“Kami perlu ada jurulatih yang mempunyai karisma, muda dan dihormati. Apa yang saya kagum dengannya adalah kemahiran ’man management’ beliau.

Beliau juga ada pengalaman dalam pasukan B-23 Argentina, saya rasa beliau adalah orang sesuai untuk bawa JDT ketika tempoh perubahan ini dan projek baru kami,”

katanya.

Menurut TMJ, Solari sebelum ini menerima tawaran daripada River Plate dan Barcelona tetapi baginda berjaya meyakinkannya untuk terlibat dalam projek di JDT.

Sebelum bergelar jurulatih, Solari juga merupakan seorang pemain profesional dan pernah bermain di beberapa kelab Eropah dan Amerika Selatan.

Jika dilihat senarai pengurus sejak JDT ditubuhkan, kebanyakannya adalah dari Argentina iaitu Mario Gomez, Raul Longhi dan Luciano Figueroa, berbanding pengurus dari negara lain.

Kesemua jurulatih tersebut berjaya memenangi trofi di JDT dengan Gomez dan Figueroa masing-masing berjaya menghadiahkan lima trofi sepanjang mengendalikan kelab itu.

Dengan pelantikan Solari, TMJ juga mengesahkan bahawa ketua jurulatih ketika ini, Hector Bidoglio akan dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Teknikal musim depan.

Manakala Alistair Edwards pula akan menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Selain perubahan pegawai pasukan, TMJ juga mengesahkan bahawa skuad juga akan menjalani rombakan di mana beberapa pemain akan dipinjamkan keluar, dan beberapa pemain JDT II akan dinaikkan ke pasukan utama, selain menandatangani beberapa pemain import.

“Kami akan tanda tangan seorang pemain tempatan, dan naikkan beberapa pemain JDT II ke pasukan senior.

Selain itu, kami akan bawa masuk seorang pemain tengah menyerang daripada Sepanyol untuk backup Leandro, serta seorang pertahanan kiri versatil yang boleh bermain di sayap kiri dan kanan juga dari Sepanyol, serta seorang penyerang dari Brazil.”

Dengan apa yang dikatakan oleh TMJ ini, jelaslah bahawa JDT hanya akan melakukan beberapa tambahan pemain dan mengekalkan hampir semua pemain untuk musim depan.

Tetapi apa yang menarik pastinya transisi gaya permainan daripada Bidoglio kepada Solari yang akan dinanti-nantikan.

Jika dilihat dari rekod ketua jurulatih Argentina di JDT sebelum ini, dapat diandaikan bahawa pasukan itu akan meneruskan dominasi mereka dalam saingan domestik dan mungkin lebih sukar untuk ditewaskan.

Apa yang menjadi ukuran adalah sama ada beliau mampu membawa JDT mara lebih jauh lagi daripada 16 terbaik di AFC Champions League (ACL).