Diberi jalan mudah oleh ‘saudara’ Perancis, Tunisia masih tidak bernasib baik untuk ke pusingan kalah mati buat pertama kali di Piala Dunia

349

Wakil benua Afrika, Tunisia berjaya melakukan kejutan selepas menang ke atas juara bertahan Piala Dunia, Perancis, yang dibarisi “B team”, pada perlawanan terakhir Kumpulan D dengan keputusan tipis 1-0.  

Kejayaan pada perlawanan kali ini dibantu oleh beberapa pemain berdarah kacukan Tunisia-Perancis terutama sekali penjaring gol kemenangan, Wahbi Khazri yang pernah beraksi untuk skuad B-21 Perancis pada tahun 2012.


Selain Khazri, ada beberapa lagi orang pemain kacukan seperti Nader Ghandri, Wajdi Kechrida, Montassar Talbi, Aissa Laidouni, Ellyes Skhiri yang telah beraksi dengan cukup cemerlang bagi mengekang kemaraan barisan serangan Perancis.

Malang sekali, kemenangan ini tidak berjaya membantu mereka melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik buat pertama kali selepas Australia juga cemerlang untuk menewaskan Denmark sekaligus menduduki tangga kedua kumpulan dan layak ke peringkat seterusnya.

Tunisia berhasil mempamerkan aksi memberangsangkan seawal babak pertama bermula ekoran daripada keinginan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada perlawanan ini.

Khazri yang ditugaskan sebagai ketua pasukan menunjukkan persembahan yang cukup baik dengan beberapa kali melancarkan serangan merbahaya ke arah penjaga gawang Les Bleus, Steve Mandanda.

Hari gemilang buat Khazri muncul pada minit ke-58 selepas beliau berjaya membolosi pertahanan Perancis yang dikawal oleh pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Ibrahima Konate dan Raphael Varane untuk meletakkan Tunisia di hadapan.

Jaringan tersebut akan kekal menjadi memori terindah buat pemain berusia 31 tahun tersebut tatkala edisi kali ini berkemungkinan besar menjadi penyertaan terakhirnya di kejohanan berprestij ini.

Gol kemenangan itu akan turut membantu Khazri untuk mengekalkan namanya di kedudukan lima teratas di dalam carta penjaring terbanyak Tunisia sepanjang zaman.

Beliau kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 25 gol daripada 74 perlawanan bermula dari tahun 2013, dibezakan 11 jaringan dengan pendahulu Issam Jemaa yang telah bersara pada tahun 2014 dengan 36 gol.

Perancis hampir menyamakan kedudukan pada penghujung tambahan masa menerusi pemain gantian, Antoine Griezmann namun jaringannya dibatalkan oleh pengadil ekoran daripada kekasaran yang dilakukan.

Secara dasarnya, kedua-dua negara ini mempunyai pertalian yang sangat kuat memandangkan Perancis pernah menjajah Tunisia bermula dari tahun 1881 sehingga 1956.

Malah, Tunisia pada awalnya bersaing di Piala Dunia beberapa kali dari tahun 1930 sehingga 1954 di atas tiket mewakili negara Perancis.

Kali pertama mereka beraksi di Piala Dunia selepas mencapai kemerdekaan adalah pada tahun 1978 sewaktu kejohanan ini diadakan di Argentina namun terkandas di peringkat awal selepas sekadar menduduki tangga ketiga kumpulan.

Tunisia mengakhiri saingan Piala Dunia Qatar kali ini di tangga ketiga kumpulan selepas mencatatkan pungutan empat mata daripada tiga perlawanan.

Meskipun layak ke peringkat kalah mati, Perancis terpaksa akur memandangkan rekod bersih mereka tanpa sebarang kekalahan lebur di tangan Tunisia.

Dalam pada itu, skuad kendalian Didier Deschamps ini perlu bersiap sedia untuk menghadapi lawan seterusnya dalam aksi pusingan 16 yang akan berlangsung pada 4 Disember ini.

Harapnya mereka mampu hentikan ‘badi’ juara bertahan seperti yang diperkatakan sebelum ini!