Rombakan besar-besaran sedang berlaku di Kedah, Sang Kenari bakal tampil berbeza musim 2023

2,195

Selepas melalui musim yang terumbang-ambing, Kedah Darul Aman FC dijangka akan memperkuatkan pasukan bagi menghadapi musim baru.

Bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain dilaporkan sudah pun bersetuju untuk bersama pasukan itu namun belum diumumkan secara rasmi.


Nafuzi juga dikatakan akan cuba membawa bekas anak buahnya di Terengganu untuk menyertai beliau di kelab baru, manakala seorang penjaga gol kebangsaan turut dikaitkan dengan pasukan itu.

Kedah juga akan menggunakan import baru musim depan selepas melepaskan kelima-lima pemain import mereka musim ini iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Sanrawat Dechmitr, Marc Vales dan Dechi Marcel.

Tindakan itu dilihat satu tindakan drastik walaupun pemain seperti Mahmoud Al-Mardi dirasakan sesuai untuk dikekalkan oleh ramai penyokong.

Namun, ketua jurulatih baru nampaknya sudah mempunyai perancangannya tersendiri dan awal melakukan rombakan secara besar-besaran di dalam skuad Kedah kali ini.

Jika dilihat pemain-pemain yang ada ketika ini, pasukan Kedah boleh dianggap kuat namun mereka gagal mengulangi pencapaian menduduki tangga kedua Liga Super selama dua musim berturut-turut, dan terjerumus di tangga kelapan musim ini.

Selain pemain import, pemain tempatan sedia ada juga dijangka akan melalui proses rombakan.

Bukan sahaja pasukan utama, Kedah juga nampaknya turut berhasrat memperkuatkan skuad bawah umurnya dengan mengambil pemain import.

Pemilik Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkongsi perkara itu dengan mengatakan ketika ini dua import, masing-masing dari Algeria dan Kosovo akan menjalani percubaan dengan kelab itu.

Menurutnya, kedua-dua pemain itu akan berada di Kedah awal Januari 2023 dan akan dipertimbangkan untuk pasukan kedua Kedah.

Sebelum ini, Kedah adalah antara pasukan Liga Super yang tidak mempunyai pasukan kedua di Liga Perdana seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor dan Terengganu.

Namun, dengan penstukturan semula Liga Malaysia yang bakal memperkenalkan Liga Simpanan untuk pembangunan pemain B-23, setiap pasukan Liga Super akan menghantar pasukan untuk bersaing.

Kedah yang sentiasa berbangga dengan kehebatan mereka menghasilkan ramai ‘ubi’ yang berbakat nampaknya turut berpijak di bumi nyata dan sedar pengambilan pemain import adalah penting untuk memberi saingan yang kuat.

Musim 2023 pastinya satu musim yang baru buat Kedah di bawah bimbingan jurulatih baru, dan dengan persaingan Liga Super musim depan semakin sengit, Kedah dilihat sudah bersedia untuk menempuhinya dengan rombakan besar-besaran yang dilakukan.