Cristiano Ronaldo mampu bawa bola sepak Asia ke satu tahap lebih tinggi

406

Selepas kontraknya dengan Manchester United ditamatkan dengan persetujuan bersama, Cristiano Ronaldo nampaknya tidak perlu menunggu lama untuk mendapat majikan baru.

Kelab Saudi Pro League, Al-Nassr dilaporkan telah membuat tawaran mega kepada pemenang Ballon d’Or lima kali itu dengan gaji 200 juta Euro (RM 921.3 juta) semusim, menurut wartawan sukan terkemuka, Fabrizio Romano.


Tambahnya, pemain berusia 37 tahun itu masih belum membuat keputusan mengenai tawaran itu kerana fokus ketika ini bersama Portugal di Piala Dunia.

Selain itu, peguam beliau juga mahu melihat terlebih dahulu sama ada hak imej turut menjadi sebahagian daripada tawaran tersebut atau tidak.

Kontrak ini juga lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh sebuah lagi kelab Arab Saudi, Al-Hilal awal musim ini iaitu sebanyak £2 juta (RM10.5 juta) seminggu.

Malah, presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi, Yasser al-Misehhal sendiri teruja dengan prospek untuk membawa pemain itu ke Arab Saudi.

Sekiranya beliau bersetuju dengan kontrak tersebut, ia akan menjadi satu perpindahan yang paling bersejarah dan besar dalam bola sepak Asia.

Di usia 37 tahun, Ronaldo sudah memenangi semua trofi yang beliau boleh dapat di peringkat kelab, jadi tiada yang perlu dibuktikan lagi.

Dari sudut kewangan, hanya kelab kaya Asia yang dilihat sanggup membayar sejumlah wang tersebut kepada Ronaldo berbanding kelab-kelab di Eropah.

 Jika Ronaldo beraksi bersama Al-Nassr, nilai komersil kejohanan AFC Champions League pastinya akan semakin meningkat.

Pastinya lebih ramai pihak yang berminat untuk menaja kejohanan tersebut dan lebih ramai penonton dari seluruh dunia akan berminat menyaksikan.

Beliau juga tidak akan menjadi pemain ternama pertama yang berhijrah ke kelab itu, kerana bakal menyertai David Ospina, Luiz Gustavo dan juga Vincent Aboubakar.

Al-Nassr juga ketika ini dilatih oleh pengendali dari Perancis, Rudi Garcia yang pernah melatih AS Roma, Marseille dan Lyon.

Sekiranya beliau beraksi di Arab Saudi musim depan, tidak mustahil pengaruhnya akan menarik lebih ramai lagi pemain ternama lain untuk beraksi di Asia selepas ini.

Perkara ini pernah dilakukan oleh Major League Soccer (MLS) sebelum ini untuk menarik pemain-pemain ternama yang berada di hujung karier untuk ke liga itu bagi menaikkan nilai komersil.

Dan ia terbukti berjaya apabila sukan bola sepak semakin mendapat sambutan di Amerika Syarikat.