Thailand sedia pertahankan Piala AFF, tampilkan skuad sedikit berbeza tetapi tetap berbahaya

363

Juara bertahan Piala AFF, Thailand bersedia untuk menghadapi edisi tahun ini apabila secara rasminya mengumumkan senarai 24 pemain untuk ke kejohanan itu.

Berdasarkan senarai tersebut, terdapat perubahan besar dapat dilihat apabila terdapat beberapa tonggak pada edisi tahun lalu tidak dibawa kali ini antaranya adalah pemain terbaik Piala AFF 2020, Chanathip Songkrasin dan Supachok Sarachat.


Namun ia sudah dijangka kerana mereka pernah memberitahu tidak akan terlibat pada saingan kali ini.

Walaubagaimanapun, pemain-pemain lain yang dipanggil ketua jurulatih, Alexandre Polking dilihat mampu menjadikan Thailand sebagai pencabar sekali lagi pada edisi kali ini.

Antara tonggak yang bakal memperkuatkan Thailand kali ini adalah Teerasil Dangda, Kritsada Kaman, Theerathon Bunmathan dan Adisak Kraisorn.

Sementara itu, beberapa pemain yang tidak tersenarai sebelum ini termasuk bekas pemain Kedah Darul Aman, Sanrawat Dechmitr turut dipanggil.

Dengan gabungan pemain baru dan lama kali ini, Thailand masih lagi menjadi salah satu pasukan pilihan untuk menjulang trofi itu buat kali ketujuh.

Namun, Polking pastinya akan merasai ketiadaan Chanathip dan Supachok, tetapi beliau sudah tentu mempunyai pelan dan percaturan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh dua pemain itu.

Jika dibandingkan dengan senarai awal pemain Malaysia baru-baru ini, tugas sukar pasti menanti Kim Pan-gon sekiranya kedua-dua pasukan bertemu.

Namun, ketiadaan dua pemain penting tersebut serta dengan skuad yang sedikit berbeza kali ini, mungkin Malaysia mampu mengejutkan Thailand.

Thailand akan menghadapi dua perlawanan persahabatan dengan Myanmar dan Taiwan bagi persiapan ke Piala AFF.

Thailand diundi dalam kumpulan A bersama-sama Filipina, Indonesia, Kemboja dan Brunei.