Pertelingkahan, konflik di bilik persalinan jadi pengakhiran menyedihkan buat ‘Generasi Emas’ Belgium

1,323

Pasukan ranking kedua dunia, Belgium terpaksa akur selepas sah terkandas di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Dunia Qatar tahun ini.

Mereka gagal mencari kemenangan pada misi wajib menang dalam pertemuan menentang naib juara edisi lalu, Croatia yang berakhir dengan keputusan seri tanpa sebarang jaringan.


Tindakan ketua jurulatih, Roberto Martinez tidak membariskan ketua pasukan, Eden Hazard di kesebelasan utama memakan diri dan tiada impak positif selepas pasukan tersebut dilihat terus mempamerkan aksi longlai.

Hazard merupakan pemenang anugerah Silver Ball di belakang ketua pasukann Croatia, Luka Modric yang merangkul gelaran Golden Ball pada saingan Piala Dunia 2018 yang lalu.

Persembahan kali ini tidak berbeza jauh sebagaimana yang telah ditunjukkan pada dua perlawanan sebelumnya termasuk ketika tewas mengejut 2-0 di tangan Morocco.

Belgium dilihat tidak bermain dengan cara mereka tersendiri serta gagal menunjukkan kesefahaman yang baik kecuali pada 10 minit terakhir perlawanan ekoran daripada keadaan yang begitu mendesak mereka untuk mencari kemenangan.

Kedudukan ranking tertinggi di dunia tidak bermakna apa-apa jika wujudnya masalah dalaman yang berlaku di dalam bilik persalinan.

Croatia berjaya menunjukkan kesefahaman yang cukup tinggi bagi membolehkan mereka lebih mendominasi perlawanan meskipun turut dibarisi oleh pemain berusia seperti Modric, Dejan Lovren, Andrej Kramaric dan Marcelo Brozovic.

Kerjasama baik inilah yang berjaya menjadi nadi kepada kejayaan skuad Croatia mengikat The Red Devils pada malam ini tanpa sebarang gol.

Berdasarkan perkongsian yang tular sebelum ini, difahamkan bahawa bintang Belgium seperti Kevin de Bruyne dan Thibaut Courtois tidak bertegur sapa sekian lama meskipun sering beraksi bersama buat negara tersebut.

Walaupun Martinez menafikan perkara ini berlaku dan melabelnya sebagai berita palsu, ia jelas terlihat bahawa ada konflik dalaman yang terjadi di kalangan beberapa pemain utama pasukan Belgium telah memberi kesan kepada prestasi keseluruhan pasukan.

Pada masa yang sama, kegagalan kali ini memberi petanda bahawa rombakan besar perlu dilakukan kepada skuad tersebut termasuk perubahan jurulatih, Roberto Martinez yang difahamkan telah melepaskan tanggungjawab yang telah dipikul sejak 2016 susulan kegagalan sebentar tadi.

Meskipun berjaya membina serta membimbing ‘Generasi Emas’ Belgium sehingga meraih tempat ketiga di edisi yang lalu, Martinez dilihat kurang sesuai untuk dikekalkan berdasarkan prestasi tidak menentu pasukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahan pula, beliau kini sedang rancak dikaitkan dengan beberapa kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk bekas kelabnya, Everton sebelum ini.

Nama pembantu jurulatih, Thierry Henry mungkin boleh dipertimbangkan sebagai pengganti yang sesuai tatkala beliau sudah memiliki pengalaman mengendalikan beberapa pasukan seperti Monaco dan Montreal Impact.

Selain jurulatih, pemain-pemain juga perlu dirombak tatkala kebanyakan pemain utama seperti Axel Witsel, Jan Vertonghen, Eden Hazard, Dries Mertens dan Romelu Lukaku sudah hampir mencecah usia 30an dan semakin kehilangan rentak terbaik mereka.

Lukaku dilihat sudah kehilangan sentuhan berbisanya selepas beliau gagal menyempurnakan peluang demi peluang yang terhidang buatnya sepanjang perlawanan berlangsung.

Mungkin, Belgium boleh mula memberikan peluang kepada bakat-bakat muda berkualiti yang dimiliki oleh mereka untuk lebih menyinar selepas ini.

Antara nama yang sesuai diberikan perhatian adalah pemain tengah Arsenal, Albert Sambi Lokonga serta Alexis Saelemaekers yang kini beraksi bersama AC Milan sebagai pemain sayap.

Musim lepas, Saelesmaekers telah beraksi sebanyak 36 kali di saingan Serie A serta berjaya membantu kelab tersebut menjuarai saingan liga tersebut.

Mereka juga boleh mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada pemain tengah Leicester City, Youri Tielemans untuk memegang peranan yang jauh lebih besar di dalam pasukan selepas ini.

Pemain berusia 25 tahun tersebut cukup cemerlang beraksi bersama kelabnya di England serta menjadi antara sandaran utama pada setiap perlawanan liga.

Musim ini, beliau telah beraksi sebanyak 15 perlawanan dan berjaya menjaringkan tiga gol serta satu bantuan jaringan.

Kegagalan ini bukanlah penamat namun ia boleh dianggap sebagai sebuah batu loncatan kepada peralihan besar yang bakal berlaku di dalam skuad Belgium dalam masa terdekat.

Tidak mustahil, peminat akan dapat melihat kebangkitan luar biasa yang dapat ditunjukkan pada penyertaan di Piala Dunia 2026 kelak sekiranya mereka berjaya hasilkan ‘Generasi Emas’ seterusnya dalam tempoh empat tahun mendatang.

Belgium mengakhiri saingan Piala Dunia tahun ini di tangga ketiga Kumpulan F selepas hanya berjaya mengumpulkan empat mata daripada tiga perlawanan.