Jerman dikenakan oleh musuh tradisi Sepanyol, tersungkur awal kali kedua berturut-turut di Piala Dunia
Bekas juara Piala Dunia 2014, Jerman terus berputih mata selepas mereka terkandas buat kali kedua berturut-turut seawal peringkat kumpulan.
Meskipun memenangi perlawanan terakhir kumpulan menentang Costa Rica, Jerman terpaksa akur selepas Jepun berjaya buat kejutan tewaskan Sepanyol 2-1 pada sebuah lagi perlawanan yang berlangsung serentak.
Jika difikirkan semula, mungkin kekalahan yang dialami oleh Sepanyol tersebut merupakan taktikal berisiko yang diambil pasukan tersebut dalam usaha menyingkirkan Jerman.
Mungkin ada sumber yang memberitahu kepada mereka keputusan semasa di antara Jerman dan Costa Rica yang menyebabkan pemain Sepanyol tidak bertungkus-lumus di minit akhir perlawanan untuk menyamakan kedudukan.
Kedudukan di tempat kedua kumpulan juga akan membolehkan Sepanyol untuk bertemu Morocco, lawan yang berada di ranking lebih rendah jika hendak dibandingkan dengan Croatia yang juga merupakan naib juara edisi lalu.
Seperti yang kita sedia maklum, Jerman sememangnya memiliki perseteruan yang cukup hebat dengan Sepanyol.
Persaingan dua musuh tradisi ini dapat dilihat pada beberapa kejohanan terdahulu di mana Sepanyol beberapa kali telah berjaya menumpaskan Jerman.
Ini termasuk di kejohanan-kejohanan besar seperti perlawanan akhir Euro 2008 di mana Sepanyol mengatasi Jerman dengan keputusan 1-0 untuk merangkul kejuaraan menerusi jaringan bekas pemain Liverpool, Fernando Torres.
Dua tahun berselang, Sepanyol sekali lagi menewaskan Jerman di peringkat separuh akhir Piala Dunia 2010 sekaligus meranapkan impian pasukan tersebut untuk melangkah ke perlawanan akhir pada tahun tersebut.
Terbaru, Jerman dimalukan pada aksi UEFA Nations League pada 17 November 2020 dengan kekalahan besar 6-0 sebelum mereka terikat seri 1-1 pada pertemuan yang berlangsung di Piala Dunia kali ini.
Pada masa yang sama, Jerman dilihat sedikit tempang tanpa kehadiran ‘target-man’ berkualiti yang mampu menggalas tugas dalam melakukan penyudah yang diinginkan.
Perkara yang sama turut berlaku pada aksi di Piala Dunia 2018 sebelum ini selepas mereka kehilangan penyerang berbisa, Miroslav Klose yang mengumumkan persaraan selepas meraih gelaran juara Piala Dunia pada tahun 2018.
Klose cukup digeruni lawan dengan ketajamannya di bahagian hadapan yang membolehkan beliau muncul sebagai antara pemegang rekod penjaring terbanyak Piala Dunia dengan 16 gol daripada 24 perlawanan sepanjang empat edisi yang pernah disertainya bermula tahun 2004.
Tahun ini, mereka tidak dapat membawa penyerang utama, Timo Werner bersama ke Qatar selepas beliau mengalami kecederaan buku lali di saat-saat akhir sebelum Piala Dunia bermula sewaktu beraksi bersama kelabnya.
Penyerang Werder Bremen, Niclas Fullkrug yang dipilih pada awalnya dilihat mampu menjadi pengganti bagi tempat yang ditinggalkan oleh Werner namun impak yang dibawanya masih belum mencukupi untuk membawa Jerman melangkah lebih jauh.
Ketua jurulatih Jerman, Hansi Flick dilihat cenderung menggunakan Kai Havertz selaku penyerang tunggal namun tindakan tersebut juga tidak berkesan kali ini.
Havertz dilihat seakan hilang punca sewaktu diturunkan pada perlawanan pertama menentang Jepun dan gagal menyempurnakan peluang yang terhidang dengan sebaiknya.
Pemain berusia 23 tahun tersebut berjaya menunjukkan sedikit peningkatan sewaktu dibawa masuk pada perlawanan terakhir menentang Costa Rica untuk menjaringkan dua gol namun segalanya sudah terlambat buat Jerman.
Tambahan pula, Jerman dilihat seperti hilang arah dengan ketiadaan sosok pemain yang boleh memimpin di atas padang sepertimana sewaktu mereka mempunyai pemain seperti Philip Lahm dan Michael Ballack satu ketika dahulu.
Dalam pada itu, perlu diakui bahawa penyerahan tanggungjawab Joachim Low kepada Flick tidak dapat mengubah kenyataan bahawa pasukan ini masih dibarisi oleh pemain berumur seperti Manuel Neuer dan Thomas Muller yang sudah menghampiri penghujung karier masing-masing.
Neuer juga dilihat tidak lagi berada di tahap terbaiknya selepas berhadapan dengan kecederaan serius yang dialaminya selain daripada faktor umur.
Tugas penjaga gawang utama mungkin perlu mula diserahkan kepada pengganti terbaru di antara Marc-Andre ter Stegen dan Kevin Trapp buat masa ini sebelum adanya pemain yang lebih muda dan berkualiti.
Perubahan ke arah membawa masuk tenaga yang jauh lebih muda perlu dipertingkatkan dalam kadar segera untuk kembali menjulang pasukan ini ke tahap yang lebih baik.
Bintang Bayern Munich, Jamal Musiala menjadi bukti kukuh bahawa Jerman sebenarnya memiliki pemain muda yang mampu menggalas cabaran namun tidak diberikan peluang sewajarnya.
Musiala yang baru berusia 19 tahun merupakan pemain keempat paling bernilai di pentas Piala Dunia kali ini mengatasi pemain ternama lain seperti Harry Kane dan Neymar.
Jerman perlu memperbaiki kesemua aspek ini dalam masa terdekat untuk segera bangkit menjadi salah sebuah pencabar terkuat menjelang edisi Piala Dunia seterusnya pada 2026 kelak.