Hannah Yeoh dilantik Menteri KBS baru, bawa harapan tinggi peminat sukan tanah air
Penantian orang ramai mengenai kabinet baru akhirnya terjawab setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Menteri-Menteri yang bakal membantu beliau dalam mentadbir negara.
Bagi peminat sukan, sudah tentu individu yang bakal menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjadi tanda tanya kerana bakal menentukan hala tuju sukan negara.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah dipilih untuk menerajui kementerian tersebut, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini.
Pelantikan ini menjadikan beliau wanita kedua yang memegang jawatan itu sejak Datuk Seri Azalina Othman pada 2004 hingga 2008.
Mungkin ada juga pihak yang terkejut dengan pelantikan Hannah sebagai Menteri Belia dan Sukan, namun sudah pasti Perdana Menteri telah memilih individu yang dirasakan sesuai untuk portfolio tersebut.
Dari sudut pandang sukan, peminat serta penggiat sukan pastinya mahukan reformasi serta penambahbaikan dalam KBS yang telah bertukar tiga menteri sejak Pilihan Raya Umum Ke-14.
Diharapkan beliau mampu memastikan segala aspek dari segi pembangunan sukan, pengurusan bajet, kebajikan atlet, pengurusan fasiliti dan sebagainya dapat dijaga dengan baik.
Selain itu, fokus dalam jangka pendek ini pastinya memastikan program untuk Sukan Olimpik Paris 2024 dapat dilaksanakan dengan lancar supaya Malaysia dapat membawa kilauan emas pertama dari temasya itu.
Satu lagi perkara yang harus diberi perhatian adalah memastikan bahawa setiap sukan di negara ini dilayan dengan adil dan bukan sahaja memberi perhatian kepada sukan-sukan popular.
Segala perancangan atau program yang telah dilakukan oleh Menteri sebelum ini yang baik harus dikekalkan atau ditambah baik, dalam masa yang sama mewujudkan dasar dan program yang mampu meningkatkan mutu sukan di negara ini.
Semoga Hannah berjaya memimpin KBS dengan jayanya dan membawa kementerian tersebut ke satu tahap yang lebih baik selepas ini.