Tiga kemenangan setiap pasukan dalam enam pertemuan terakhir, Switzerland mungkin mampu kejutkan Portugal

379

Tamat sudah perlawanan peringkat kumpulan untuk saingan Piala Dunia 2022 Qatar apabila perlawanan terakhir membabitkan Kumpulan G di antara Switzerland dan Serbia berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Switzerland dengan jaringan 3-2.

Kemenangan ini sekaligus menjadikan pasukan Switzerland naib juara kumpulan dan layak ke Pusingan 16 yang mana mereka akan bertemu dengan Portugal.


Perlawanan menentang Serbia tadi cukup sengit dengan kedua-dua pasukan terus melakukan serangan bertali arus sejak wisel ditiupkan.

Bagaimanapun Switzerland terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Xherdan Shaqiri pada minit ke-20, namun ia tidak bertahan lama apabila Aleksandar Mitrovic menyamakan kedudukan untuk Serbia pada minit ke-26.

Kurang 10 minit, Serbia mendahului lawan menerusi jaringan Dusan Vlahovic sekaligus memberi mereka sedikit kelebihan tetapi Breel Embola tidak membenarkan pasukan Switzerland menamatkan separuh masa pertama dengan ketinggalan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, skuad yang diberi jolokan A-Team ini terus melancarkan serangan dan berjaya kembali mendahului menerusi jaringan Remo Freuler pada minit ke-48 sekaligus menjadi gol kemenangan Switzerland.

Tidak dapat dinafikan kempen Piala Dunia 2022 skuad kendalian Murat Yakin menyaksikan mereka tampil dengan skuad yang cukup tersusun dan ampuh.

Ia dibuktikan apabila mereka hanya tewas tipis sahaja kepada Brazil iaitu 1-0 dan seri 3-3 ketika menentang Cameroon.

Oleh itu pertembungan dengan Portugal kelak akan menjadi lebih menarik terutamanya apabila Switzerland mempunyai Yann Sommer sebagai penjaga gol kerana jika perlawanan diheret ke penentuan penalti, Sommer adalah ‘raja’ dalam peringkat kalah mati terutamanya penentuan sepakan penalti.

Dalam enam pertemuan terakhir mereka, kedua-dua pasukan berjaya menang tiga perlawanan setiap pasukan dan ini membuktikan bahawa Switzerland bukanlah lawan mudah buat Portugal berikutan barisan pertahanan mereka lemah walaupun dengan kehadiran Ruben Dias.

Portugal sudah pasti akan berdepan tugas sukar nanti untuk menembusi barisan pertahanan Switzerland kerana mereka sangat berdisiplin dan sebuah organisasi yang cukup mantap.

Dalam pada itu, sebelum perlawanan di antara Serbia dan Switzerland ia sudah pun menjadi ‘panas’ berikutan terpalit dengan isu politik membabitkan kedua-dua negara ini.

Pada Piala Dunia 2018 di Rusia ketika kedua-dua pasukan ini pertama kali bertemu di mana Switzerland berjaya menang 2-1 telah menyakiskan Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri telah meraikan gol yang dijaringkan mereka dengan melakukan isyarat burung helang berkepala dunia, yang merujuk kepada simbol bendera Albania.

Malah sebelum perlawanan pertama Serbia baru-baru ini juga telah tersebar foto yang memaparkan bendera nasionalis yang menunjukkan peta Serbia termasuk Republik Kosovo dalam warna kebangsaan Serbia dengan slogon Nema predaje – “never surrender.”

Susulan itu, Persekutan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah pun memulakan siasatan berhubung perkara tersebut selepas Persatuan Bola Sepak Kosovo meminta badan induk bola sepak dunia itu mengambil tindakan berikutan ia membawa mesej negatif kepada Kosovo.

Sementara itu, prestasi tidak konsisten yang dipamerkan oleh pasukan Serbia menjadi kelemahan utama apabila sering melepaskan gol mudah walaupun mempunyai pemain berkelas dunia seperti Aleksandar Mitrovic dan Dusan Vlahovic.

Tersingkirnya dari Piala Dunia bermakna mereka tidak mampu untuk mengulangi kejayaan di saat menentang Portugal di Pusingan 16 nanti seperti mana mereka tewaskan Portugal dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia yang menyaksikan jaringan minit-minit oleh Mitrovic telah membawa mereka layak ke Piala Dunia 2022 apabila menang 2-1.