Isu gaji dua pasukan terus berlanjutan, pemain Melaka United terpaksa guna talian hayat

2,043

Setelah sekian lama menyepi, isu tunggakan gaji pemain dari dua buah kelab bermasalah iaitu Melaka United dan Sarawak United kini kembali hangat diperkatakan.

Terbaru, ada beberapa pemain pasukan Melaka United yang telah memuatnaik hantaran di media sosial meminta bantuan dan ihsan daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim FC, Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk campur tangan dalam isu ini.


Antara individu yang dilihat melakukan perkara tersebut adalah bekas pemain kebangsaan, Wan Zaharulnizam serta ada beberapa orang lagi seperti Hasbullah Abu Bakar, Wan Amirul Afiq dan Syukri Bahrun.

Pemain-pemain ini melihat bahawa TMJ adalah individu yang tepat untuk mereka meminta bantuan terhadap perkara ini melihat kepada pengaruhnya di dalam bola sepak Malaysia.

Menerusi perkongsian tersebut, para pemain Melaka United sudah tidak menerima sebarang bayaran gaji selama lima bulan daripada pihak pengurusan kelab.

Masalah tersebut sepatutnya diselesaikan oleh dua pihak terbabit iaitu pemilik kelab, Datuk Seri Justin Lim serta Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA).

Terdahulu, pemain-pemain Melaka turut melakukan tindakan seperti ini di mana mereka mendedahkan ada menghubungi pihak berkenaan namun tiada sebarang respons yang diberikan.

Malah, MUSA juga seakan-akan melepaskan tangan selepas menafikan ada hubung kait tentang perkara ini.

Hal ini nyata menimbulkan tanda tanya daripada ramai pihak memandangkan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) tampak bertungkus lumus dalam memastikan mereka dapat bertanding di saingan Liga M3 musim depan.

Untuk apa mereka ingin mendaftarkan pasukan jika perkara-perkara seperti ini tidak dapat diselesaikan terlebih dahulu dan berpotensi untuk berulang semula kerana ini bukan kali pertama Melaka United menghadapi isu sebegini.

Bukan sahaja Melaka United, malah Sarawak United juga difahamkan menerima masalah serupa selepas pemain tidak menerima sebarang bayaran selama lebih kurang empat bulan.

Perkara ini dikongsikan oleh sumber dalaman pasukan yang memberitahu keperitan semasa yang perlu dihadapi oleh para pemain.

Situasi ini cukup mengecewakan dan terus merosakkan nama baik bola sepak negara tatkala isu tunggakan gaji seperti ini sudah menjadi adat dan kebiasaan di sini.

Sama seperti Melaka, Sarawak United yang juga gagal meraih lesen kebangsaan difahamkan dalam proses menyelesaikan dokumentasi untuk menyertai saingan Liga M3 musim depan walhal mereka seharusnya memberi fokus kepada permasalahan ini terlebih dahulu.

Ada beberapa pemain utama seperti Raja Imran Shah yang sudah mengangkat kaki berhijrah ke pasukan sejurus musim ini tamat bagi mengelak daripada terus menjadi mangsa.

Namun, bagaimana nasib pemain yang terpaksa bergantung harap kepada kelab ini untuk membayar segala tunggakan gaji sepertimana yang telah termaktub di dalam perjanjian asal.

Menurut perkongsian, kali terakhir mereka menerima bayaran gaji adalah pada September lalu sebagaimana yang disahkan oleh Presiden Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais.

Semoga dengan perkongsian demi perkongsian yang dilakukan ini dapat membuka mata serta memaksa pihak-pihak terbabit untuk segera menyelesaikan sebarang tunggakan.

Sampai bila kita hendak melihat Liga Malaysia dicemari oleh masalah-masalah seperti ini yang menjejaskan kemeriahan suasana pada setiap musim.

Musim ini, kita dapat lihat bagaimana kedua-dua pasukan ini bergelut pada penghujung musim selepas mereka kehilangan ramai pemain yang ‘cabut’ selepas tidak dibayar gaji.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen