Skuad B-19 Malaysia bakal diuji dalam kejohanan Thanh Nien Cup 2023 pada Januari depan

249

Pasukan kebangsaan B-19 Malaysia telah disahkan akan menyertai kejohanan U-21 Thanh Nien Cup 2023 yang akan berlangsung pada 6 hingga 12 Januari 2023.

Sebanyak empat pasukan akan menyertai kejohanan itu iaitu Malaysia, Vietnam, Thailand dan Tajikistan.


Kejohanan tersebut adalah sebahagian daripada persiapan skuad B-20 Vietnam untuk kejohanan Piala Asia B-20 2023 dan Sukan SEA 2023.

Persoalan yang timbul ketika ini adalah siapakah ketua jurulatih untuk skuad B-19 yang akan menyertai kejohanan ini kerana sebelum ini ia dikendalikan oleh Hassan Sazali Waras yang telah berjaya membimbing skuad B-19 menjulang trofi Piala AFF B-19.

Hassan ketika itu juga merupakan ketua jurulatih untuk pasukan Projek FAM-MSN yang beraksi dalam saingan Liga Perdana pada musim ini, tetapi baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil keputusan untuk menggugurkannya.

Skuad Projek FAM-MSN yang akan beraksi dalam saingan Liga Simpanan musim depan akan dikendalikan oleh ketua jurulatih baru iaitu Noor Zaidi Rohmat.

Jika melihat pada situasi semasa, Noor Zaidi berkemungkinan besar akan mengendalikan skuad B-19 negara, tapi perkara itu masih belum dapat dipastikan berikutan FAM masih lagi belum membuat sebarang perubahan bagi kedudukan barisan kejurulatihan skuad B-19 negara.

Pada awal November lalu, Setiausaha Agung FAM iaitu Noor Azman Hj Rahman menjelaskan bahawa setakat ini tiada perubahan bagi kedudukan Hassan dalam barisan kejurulatihan skuad B-19 kerana ia masih belum dibincangkan lagi.

Dijangka Hassan berkemungkinan akan dikekalkan sebagai pengendali skuad B-19 negara dan Noor Zaidi pula akan terus fokus pada skuad Projek FAM-MSN yang akan bersaing dalam Liga Simpanan.

Ini kerana pada musim ini Hassan yang mengendalikan skuad Projek FAM-MSN tidak dapat memberikan komitmen penuh terhadap pasukan itu berikutan turut menggalas tanggungjawab sebagai pengendali skuad B-19 negara.

Oleh itu, dengan pelantikan Noor Zaidi sebagai pengendali skuad Projek FAM-MSN yang baru, beliau dalam memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasukan itu, manakala Hassan pula dapat terus fokus sebagai pengendali skuad B-19 negara.