Stuart Wilkin pandang positif ketiadaan ramai pemain utama, peluang buat dirinya serlahkan kemampuan

810

Pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin berpendapat ketiadaan ramai pemain senior kebangsaan dapat memberi peluang buat dirinya dan muka baru lain untuk menunjukkan bakat mereka dalam kem kebangsaan kali ini.

Menurutnya, ia dapat memperbanyakkan lagi pilihan pemain buat ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan meningkatkan lagi saingan dalam pasukan kebangsaan.


“Saya rasa persaingan dalam bola sepak adalah baik dan kita dapat lihat ramai muka baru yang dipanggil kali ini, pada pendapat saya ia mampu kuatkan lagi bola sepak Malaysia dan pasukan kebangsaan.

Semua pemain tidak boleh leka dengan kedudukan mereka dalam pasukan kebangsaan kerana wujudnya lebih banyak persaingan untuk panggilan akan datang,”

katanya.

Beliau melihat suasana dalam kem kebangsaan ketika ini amat baik dan semua pemain memberikan yang terbaik bagi mencapai matlamat yang besar.

Pemain bersia 24 tahun itu juga gembira dapat belajar di bawah Pan-gon dan mengakui sudah faham apa yang dimahukan jurulatih itu walaupun hanya empat kali sesi latihan.

Tambahnya, beliau sedar persaingan di posisinya amat sengit tetapi bertekad untuk melakukan segala-galanya bagi mendapatkan tempat dalam skuad.

“Sudah tentu agak sukar buat saya kerana ini merupakan panggilan pertama saya dan saya lihat ramai pemain bagus dalam skuad ini terutama di posisi saya.

Sebagai pemain baru, saya harus berfikiran terbuka dan berikan segala apa yang jurulatih mahukan daripada dan mengikut apa yang beliau telah rancang.”

Beliau berharap, perlawanan persahabatan menetang Kemboja Jumaat ini dapat menjadi medan buatnya untuk menunjukkan kebolehannya.

Malaysia akan bertemu Kemboja pada pukul 9 malam Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai persediaan sebelum pertandingan Piala AFF.