Sekali lagi kandas di R16! Walaupun kalah penalti kepada Croatia, seluruh Asia masih bangga dengan Jepun

272

Satu lagi pasukan dari Asia terkandas di Pusingan 16 Piala Dunia 2022 Qatar apabila Jepun baru sahaja tewas 3-1 dalam penentuan sepakan penalti kepada Croatia.

Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut buat pasukan Jepun pada Pusingan 16 kerana pada Piala Dunia 2018 Rusia mereka juga kandas apabila tewas 3-2 kepada Belgium.


Perlawanan berlangsung dengan cukup sengit dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Jepun terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Daizen Maeda pada minit ke-43.

Masuk separuh masa kedua, Croatia mula bermain dengan lebih agresif dan mereka tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-55 menerusi Ivan Perisic.

Kedua-dua pasukan cuba menambah jaringan tetapi gagal dan akhirnya perlawanan 90 minit tamat dengan keputusan terikat 1-1 dan mereka terpaksa bermain di masa tambahan.

Bagaimanapun tambahan masa 30 minit juga tidak ada pasukan yang menjaringkan gol sekaligus perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti yang mana penjaga gol Croatia iaitu Dominik Livakovic menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan tiga sepakan penalti.

Walaupun tewas dan tersingkir dari kempen Piala Dunia kali ini, namun Jepun tidak perlu tunduk malu kerana seluruh Asia berbangga dengan pencapaian luar biasa pasukan Samurai Blue pada edisi kali ini terutamanya apabila berjaya menumbangkan gergasi dunia Sepanyol dan Jerman dalam perlawanan peringkat kumpulan.

Ini merupakan kali keempat Jepun berjaya mara ke Pusingan 16 selepas melakukannya pertama kali pada Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun; Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan; Piala Dunia 2018 di Rusia dan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Biarpun berada di ranking ke-24 dunia, namun Jepun telah berjaya mempamerkan corak permainan yang cukup menyakinkan menentang Croatia yang berada di ranking ke-12 dunia.

Ia juga membuktikan kualiti bola sepak Jepun memperlihatkan peningkatan yang cukup baik dan jika tidak mustahil pada Piala Dunia 2026 mereka atau pasukan dari Asia lain mampu pergi dengan lebih jauh lagi dalam kejohanan berprestij dunia ini.

Terdahulu, Australia menjadi pasukan dari Asia yang pertama tewas di Pusingan 16 apabila tewas tipis 2-1 kepada gergasi dunia Argentina.

Harapan Asia kini terletak di tangan pasukan Korea Selatan sebentar lagi yang akan turun menentang bekas juara Piala Dunia lima kali iaitu Brazil bagi merebut slot ke suku akhir.

Berdasarkan rekod lapan pertemuan sebelum ini, pasukan Korea Selatan pernah menang sekali dan kalah enam kali.

Tetapi dalam kejohanan Piala Dunia, apa sahaja boleh berlaku dan ia sudah pun berlaku pada perlawanan peringkat kumpulan.

Mampukah Korea Selatan mengulangi pencapaian pada tahun 2002 apabila mereka berjaya layak sehingga ke peringkat separuh akhir? Sama-sama kita tunggu.