Tiada apa yang perlu dimalukan! Apa akan terjadi jika Malaysia sekumpulan dengan Korea Selatan di Piala Asia 2023?

1,103

Berakhir sudah perjuangan pasukan Asia di Piala Dunia 2022 Qatar apabila Korea Selatan tewas 4-1 di tangan Brazil dalam perlawanan Pusingan 16 sebentar tadi.

Ternyata terdapat perbezaan kualiti yang cukup besar di antara pemain Korea Selatan dan juga Brazil, namun pujian harus diberikan kerana mereka tidak bermain secara bertahan sahaja sebaliknya turut melakukan serangan berbahaya namun dinafikan oleh penjaga gol.


Melihat pada sudut positif, kempen Piala Dunia kali ini merupakan satu pencapaian yang cukup bersejarah buat Asia apabila buat pertama kalinya tiga pasukan Asia iaitu Korea Selatan, Jepun dan Australia berjaya layak ke Pusingan 16.

Ia merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan buat seluruh peminat bola sepak di Asia.

Bagi pasukan Asia lain yang gagal iaitu Arab Saudi dan Iran juga telah mempamerkan peningkatan yang cukup drastik termasuk kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia apabila Arab Saudi berjaya menewaskan juara dua kali Piala Dunia, Argentina pada perlawanan kumpulan.

Manakala untuk Qatar pula, walaupun mereka tewas dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan, mereka dijangka akan membuat kebangkitan pada kejohanan Piala Asia 2023 nanti berikutan mereka adalah juara bertahan.

Brazil memulakan separuh masa pertama dengan begitu yakin sekali dan mereka tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuaan apabila Vinicius Junior menjaringkan gol pertama pada minit ke-7.

Enam minit kemudian mereka menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 yang disempurnakan oleh Neymar Junior. 

Richarlison kemudian menjaringkan gol ketiga pada minit ke-29 sebelum giliran Lucas Paqueta pula menjaringkan gol keempat pada minit ke-36 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan cukup selesa.

Pada separuh masa kedua Brazil mula memperlahankan permainan dan Korea Selatan mengambil kesempatan untuk melakukan serangan dan akhirnya berjaya mendapat gol saguhati pada minit ke-76 menerusi volley cantik daripada Paik Seung-ho.

Kekalahan ini bukan bermakna bahawa pasukan Korea Selatan tidak bagus tetapi corak permainan terbuka mereka telah memakan diri setiap kali Brazil melakukan serangan mengejut kerana mereka cukup pantas sekaligus membuatkan pemain pertahanan gagal untuk menutup ruang dengan cepat.

Ini merupakan kekalahan ketujuh Korea Selatan kepada Brazil daripada lapan pertemuan di antara mereka.

Mereka hanya berjaya menang sekali sahaja ke atas Brazil iaitu pada tahun 1999 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dengan jaringan 1-0.

Pencapaian terbaik Korea Selatan di kejohanan Piala Dunia adalah pada tahun 2002 yang mana ketika itu mereka menjadi tuan rumah bersama Jepun di mana mereka layak ke peringkat separuh akhir dan menamatkan saingan di tempat keempat.

Sejak dari itu mereka terus gagal untuk melangkah jauh sebaliknya sering terkandas di peringkat kumpulan dan juga Pusingan 16.

Untuk rekod, Korea Selatan hanya tewas dengan jumlah jaringan besar dua kali sahaja iaitu 9-0 kepada Hungary dan 7-0 kepada Turki (ketika kali pertama mereka layak ke Piala Dunia buat kali pertama).

Mungkin ada segelintir peminat di Malaysia yang akan ketawa dengan kekalahan Korea Selatan dan kegagalan Jepun menjaringkan tiga penalti, namun kita harus realistik kerana pasukan Harimau Malaya mungkin menerima nasib sama seperti Korea Selatan (apabila menentang Brazil); dan jika mampu mengheret pasukan gergasi seperti Jepun ke penentuan sepakan penalti di Piala Asia, seperti mana mereka lakukan ketika menentang Croatia, adakah ia sesuatu yang kita akan banggakan?

Keenam-enam wakil AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) di Piala Dunia kali ini sudah berada di kelas mereka tersendiri dan dengan pencapaian dan kekalahan di Piala Dunia akan membuatkan mereka lebih nekad, kuat dan dahagakan kejayaan. Jepun juga dilaporkan berkemungkinan besar akan menyertai kejohanan UEFA Nations League.

Mereka juga akan membina pasukan yang lebih ampuh nanti dan dijangka Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia akan menjadi lebih sukar walaupun jumlah pasukan sertai Piala Dunia 2026 akan bertambah dari 32 pasukan kepada 48 pasukan buat pertama kali dalam sejarah.

Ia merupakan satu peluang keemasan buat Malaysia untuk buktikan kemampuan mereka untuk sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir zon.

Jangan terkejut melihat gergasi Asia terutamanya enam pasukan yang beraksi di Piala Dunia 2022 akan menghantar lebih ramai pemain untuk beraksi di luar negara untuk belajar dari yang terbaik dan merapatkan jurang dengan pasukan elit.

Perkara ini juga patut dilakukan oleh Malaysia dan tidak dapat dinafikan ia agak sukar tetapi dengan perpindahan Safawi Rasid ke kelab di Thailand akan menjadi permulaan yang baik.

Ketika ini juga terdapat dua lagi pemain kebangsaan yang beraksi di luar negara iaitu Luqman Hakim di Belgium dan Hadi Fayyadh di Jepun.