Nafuzi ‘in’, galas tanggungjawab besar kembalikan kegemilangan Kedah era ‘double treble’

723

Bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain akhirnya sah dilantik untuk menggalas tanggungjawab tersebut sepertimana yang digembar gemburkan sebelum ini.

Pelantikan secara rasmi ini akhirnya menjawab persoalan yang timbul sekian lama mengenai pengganti tempat yang telah ditinggalkan oleh Aidil Sharin sebelum Piala Malaysia bermula musim ini.


Pengumuman ini telah dibuat pada Majlis Menandatangani MoU Rakan Strategik dan Ketua Jurulatih Liga Super KDA FC sebentar tadi (6 Disember).

Pemilihan Nafuzi dianggap sebagai antara tindakan terbaik yang berjaya dilakukan oleh pihak pengurusan tatkala jurulatih tersebut memiliki reputasi yang cukup baik sepanjang mengemudi Terengganu pada musim 2022.

Bagi tahun 2022, Nafuzi telah membimbing pasukan Terengganu untuk menghadapi sebanyak 33 perlawanan yang melibatkan saingan Liga Super, Piala FA dan terakhir Piala Malaysia.

Daripada 33 perlawanan yang dihadapinya musim ini, beliau berjaya mencatatkan 23 kemenangan dan hanya lapan kekalahan.

Beliau cemerlang membantu pasukan Terengganu mencapai sembilan kemenangan berturut-turut bermula dari perlawanan Liga Super menentang Penang FC pada September sehingga ke aksi suku akhir kedua Piala FA bertemu KL City FC.

Rekod tanpa kalah mereka lebur selepas terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia bertemu Selangor FC di Stadium MBPJ pada 16 November yang lalu.

Walaubagaimanapun, perlu diakui bahawa ia merupakan sebuah pencapaian yang cukup baik untuk diperoleh oleh seorang jurulatih muda tempatan seperti Nafuzi yang baru sahaja berusia 44 tahun.

Untuk saingan Liga Super, Nafuzi berhasil untuk memastikan skuad Sang Penyu menamatkan saingan di tangga kedua selepas memintas pasukan Sabah FC pada minit-minit akhir.

Kejayaan tersebut sekaligus membolehkan Terengganu meraih slot layak ke Piala AFC musim depan secara automatik.

Selain dari cemerlang di dalam saingan Liga Super, kredibiliti Nafuzi turut berjaya membawa pasukan Terengganu meraih gelaran naib juara Piala FA tahun ini selepas kecundang di perlawanan akhir menentang Johor Darul Ta’zim FC.

Jurulatih berasal dari Kelantan tersebut dilihat memiliki keupayaan yang baik dari segi penyusunan taktikal permainan dan perubahan formasi mengikut kepada lawan yang dihadapi.

Kelebihan ini mampu memberikan impak positif kepada pasukan Kedah tahun depan bagi membolehkan mereka kembali memberi saingan yang lebih baik.

Musim ini, Kedah dilihat sedikit terumbang-ambing sejak awal musim melihat kepada statistik perlawanan yang telah dilalui oleh mereka.

Di bawah kendalian Aidil, Kedah telah tewas sebanyak 14 kali daripada 28 perlawanan termasuk lima kekalahan berturut-turut yang dicatatkan pada penghujung musim sebelum jurulatih berasal dari Singapura tersebut meninggalkan pasukan.

Perubahan drastik perlu dilakukan segera dan diharap dengan kemasukan Nafuzi ini dapat mengembalikan era kegemilangan yang pernah diraih oleh Kedah selaku satu-satunya pasukan yang meraih gelaran ‘double treble’ pada musim 2006/2007 dan 2007/2008.

Lebih menarik, Nafuzi merupakan salah seorang daripada pemain skuad Hijau Kuning pada ketika mereka mencipta rekod tersebut yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Nafuzi memulakan kariernya di Terengganu selaku penolong jurulatih kepada jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti.

Pada tahun 2019, Nafuzi diberikan peluang untuk menggantikan jurulatih tersebut selepas Irfan mengumumkan peletakan jawatannya secara mengejut.

 Nafuzi kini perlu mula merombak semula skuad barunya memandangkan pasukan Kedah sudah melepaskan beberapa pemain berusia seperti Syazwan Zainon, Shahril Sa’ari dan Azammuddin Akil.

Beliau perlu menggunakan kepakarannya menggunakan tenaga muda bagi membentuk sebuah pasukan berwajah baru dengan kehadiran pemain berkualiti seperti Fayadh Zulkifli, Fadzrul Daniel, Aiman Afif dan Kamil Akmal.

Pulun Nafuzi Pulun!